RTSO SAMBUT BAIK USAHA KERAJAAN JOHOR PERKUKUH KESIAPSIAGAAN RTS LINK

RTSO melihat inisiatif seperti pengukuhan jaringan pejalan kaki, perluasan konsep ‘Park & Ride’ serta integrasi RTS dengan pelbagai mod pengangkutan awam lain sebagai elemen penting dalam membentuk ekosistem mobiliti bandar yang lebih cekap dan menyeluruh. | Foto RTSO 

 

#IskandarPuteri – RTS Operations Sdn. Bhd (RTSO) menyambut baik langkah penyuraian trafik dan pengukuhan integrasi pengangkutan awam yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor menjelang operasi Projek Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

 

Usaha berterusan Kerajaan Johor itu dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, selesa dan efisien kepada rakyat Johor serta Singapura apabila sistem pengangkutan moden itu mula beroperasi kelak.

 

RTSO melihat inisiatif seperti pengukuhan jaringan pejalan kaki, perluasan konsep ‘Park & Ride’ serta integrasi RTS dengan pelbagai mod pengangkutan awam lain sebagai elemen penting dalam membentuk ekosistem mobiliti bandar yang lebih cekap dan menyeluruh.

 

Kerajaan Johor sebelum ini menggariskan lima usaha utama bagi memastikan aliran trafik di pusat bandar raya Johor Bahru lebih tersusun termasuk pembinaan Jambatan Pejalan Kaki Bertingkat (POB) yang menghubungkan RTS Bukit Chagar dengan kawasan tumpuan utama di sekitar bandar raya ini.

 

Kerajaan Negeri turut memperkukuh sistem rel dan pengangkutan awam bersepadu melalui penyambungan RTS dengan ETS, Komuter Selatan, bas awam, teksi serta perkhidmatan shuttle bagi memudahkan pergerakan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

 

Selain itu, konsep ‘Park & Ride’ akan diperluaskan ke beberapa lokasi strategik seperti Larkin, Southkey, Sutera Mall, Toppen dan AEON Bandar Dato’ Onn bagi mengurangkan jumlah kenderaan memasuki pusat bandar raya Johor Bahru.

 

Pengurusan trafik yang lebih tersusun dan pintar termasuk laluan kontra serta penaiktarafan lampu isyarat pintar turut akan dilaksanakan selain penyusunan semula aliran trafik di kawasan tumpuan utama sekitar JB Sentral dan Jalan Jim Quee.

 

RTSO berpandangan RTS Link bukan sekadar projek rel rentas sempadan, malah sebahagian daripada ekosistem mobiliti bandar yang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pengendali serta semua pihak berkepentingan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, meninjau perkembangan semasa Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di Bukit Chagar termasuk melihat sendiri persediaan operasi dan ujian tren yang sedang dijalankan menjelang pembukaan rasmi perkhidmatan itu kelak.

 

#JohorSafeZone
#WTN
#RTSLink
#InfrastrukturJohor
#PengangkutanAwam
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor