BELANJAWAN JOHOR 2026 BELA MASYARAKAT LUAR BANDAR

Belanjawan Johor 2026 bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi cerminan strategi holistik Kerajaan Negeri dalam membina kesejahteraan jangka panjang rakyat melalui fokus seimbang antara kebajikan, pembangunan ekonomi desa dan keselamatan makanan. | Foto FB Zahari Sarip
#IskandarPuteri – Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor baru-baru ini, sekali lagi membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap lapisan Bangsa Johor dapat merasai nikmat limpahan pembangunan, khususnya membabitkan komuniti luar bandar yang sekian lama menjadi tulang belakang ekonomi negeri.
Melalui rangka inisiatif lebih holistik yang berpegang kepada enam teras Agenda Maju Johor dan 260 inisiatif, belanjawan bertemakan ‘Bangsa Johor Sejahtera’ bukan sahaja memperkukuh kebajikan dan bantuan sosial, tetapi turut memperkasa sektor pertanian, keselamatan makanan serta ekonomi desa, jelas YB Tuan Selamat Takim, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Balang.
Inisiatif Kerajaan Negeri terhadap agenda keselamatan makanan turut dipuji apabila sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi pembukaan kawasan tanaman sawah padi baharu yang bukan sahaja membuka peluang pertanian moden, malah mengukuhkan peranan Johor sebagai penyumbang penting kepada bekalan makanan negara serta menawarkan peluang ekonomi baharu kepada petani di luar bandar.
Beliau juga menzahirkan penghargaan atas pendekatan menyeluruh Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang merangkumi pelbagai aspek kebajikan rakyat terdiri daripada bantuan kewangan, sosial, hinggalah sokongan berfokus kepada golongan berpendapatan rendah. Lebih istimewa, belanjawan kali ini turut memberi manfaat kepada kakitangan Persekutuan, menandakan keterangkuman sebenar dalam setiap dasar kebajikan negeri ini.
Sokongan sama turut disuarakan oleh YB Datuk Mohd Fuad Tukirin, ADUN Bukit Naning yang menyifatkan Belanjawan Johor 2026 sebagai bajet yang ditunggu-tunggu rakyat luar bandar terutama penduduk kawasan yang diwakilinya apabila sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi memperkasa pengeluaran dan penjenamaan nanas serta durian.
Jelasnya, langkah Kerajaan Negeri memberi tumpuan terhadap sektor pengeluaran buah-buahan tersebut bukan sahaja dapat memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai peneraju industri agromakanan, tetapi juga membuka ruang kepada pengusaha tanaman untuk memperkukuh pasaran, meningkatkan kualiti produk serta memperluas rangkaian potensi eksport.
Belanjawan Johor 2026 bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi cerminan strategi holistik Kerajaan Negeri dalam membina kesejahteraan jangka panjang rakyat melalui fokus seimbang antara kebajikan, pembangunan ekonomi desa dan keselamatan makanan, sekali gus memastikan Johor akan terus melangkah yakin sebagai sebuah negeri yang makmur, inklusif dan mampan.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


