JAWATANKUASA KHAS PERKUKUH KERJASAMA JOHOR-SINGAPURA, PACU JS-SEZ

Kerjasama strategik antara Johor dan Singapura terus diperkukuh melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia–Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) ke-17 di Kuala Lumpur, menumpukan pada penstrukturan semula platform kerjasama dua hala tersebut. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerjasama strategik antara Johor–Singapura kini terus diperkukuh apabila Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia–Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) kali ke-17 yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini memberi tumpuan kepada penstrukturan semula platform kerjasama dua hala berkenaan.

 

Mesyuarat yang turut dihadiri YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor itu menyaksikan peralihan JMCIM kepada Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor–Singapura (JSCMC) iaitu jawatankuasa khas yang akan memacu pelaksanaan inisiatif strategik di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) melalui kerangka kerjasama yang lebih terancang, cekap dan berimpak tinggi bagi kedua-dua negara.

 

Sepanjang mesyuarat berlangsung, pelbagai pandangan dan maklum balas yang diterima daripada pihak berkepentingan turut diteliti bagi memuktamadkan hala tuju JS-SEZ. Ia merangkumi aspek tadbir urus, struktur kumpulan kerja, potensi pelaburan, penambahbaikan pergerakan manusia serta barangan antara Malaysia dan Singapura, bagi memastikan manfaatnya akan dapat dinikmati secara inklusif, khususnya rakyat Johor.

 

Sesi Hi-Tea bersama delegasi Malaysia dan Singapura juga menjadi medan santai, namun signifikan untuk memperkukuh persefahaman dan membina keyakinan bersama. Ia sekali gus berupaya membuka laluan kepada penyelarasan awal agenda besar dua hala dalam suasana yang lebih utuh, mesra dan terbuka, demi masa depan Johor yang lebih makmur.

 

Kerajaan Negeri Johor yakin cadangan dan hasil perbincangan di JMCIM ini akan terus berupaya mengukuhkan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin serta mampu membantu meningkatkan daya saing ekonomi negeri dan seterusnya membawa limpahan manfaat kepada rakyat melalui pelaksanaan JS-SEZ.

 

Turut hadir, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; TYT Chee Hong Tat, Menteri Pembangunan Negara Singapura; YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YB Dato’ Mohd Noorazam Osman, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

 

#JohorHomeOfChampions
#WTN
#JSSEZ
#ZonEkonomiKhasJohorSingapura
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor