PEMANGKU SULTAN JOHOR SERTAI LATIH AMAL TANGANI KRISIS KEGANASAN

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terus memperlihatkan komitmen terhadap kesiapsiagaan keselamatan negeri dan negara dengan berangkat menyertai Latih Amal Ex Railguard 2025 di Stesen Kereta Api Kluang. | Foto MDJ Wira Anggara
#Kluang – Usaha memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negeri dan negara terus diperlihatkan dengan lebih jelas apabila DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat mencemar duli menyertai Latih Amal Ex Railguard 2025 di Stesen Kereta Api Kluang, hari ini.
Keberangkatan Baginda Pemangku Sultan di lokasi latihan berkenaan bukan sahaja memberi suntikan semangat kepada semua pihak terlibat, malah memperlihatkan keprihatinan dan kesungguhan Baginda dalam memastikan kesiapsiagaan keselamatan negeri dan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Latih amal yang dijalankan mengikut Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.18 – Dasar dan Mekanisme Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan (Semakan Semula 2023) ini memberi fokus kepada komunikasi tepat, tindakan pantas dan koordinasi mantap dalam kalangan pelbagai agensi bagi memastikan sebarang insiden ancaman pengganas dapat ditangani secara teratur mengikut prosedur rasmi yang ditetapkan.
Ex Railguard 2025 turut menguji keupayaan operasi dan meningkatkan pemahaman pasukan keselamatan terhadap Dasar dan Mekanisme Pengurusan Krisis Keganasan bagi membina ketahanan organisasi secara bersepadu dan berkesan.
Penganjuran ini turut mengukuhkan hubungan strategik antara jabatan Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan, sekali gus memperkasa koordinasi keselamatan di setiap peringkat bagi memastikan kesiapsiagaan negeri sentiasa berada pada tahap optimum dan mampu menangani apa jua situasi dengan lebih tersusun serta berkesan.
Antara agensi terlibat dalam latih amal berkenaan ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ), Grup Gerak Khas (GGK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Maktab Polis Diraja Malaysia, Pasukan Khas Polis Diraja Malaysia VAT 69, serta Perbadanan Aset Keretapi dan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Johor.
Turut bersama menjayakan usaha ini ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Kluang, Jabatan Kerja Raya (JKR), Sapura Holdings, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Telekom Malaysia dan Maxis Berhad.
Pelaksanaan simulasi latihan ini secara tidak langsung membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Johor dan Persekutuan dalam memastikan keselamatan awam dan kekuatan respons kecemasan sentiasa berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan rakyat.
#JohorSafeZone
#ExRailguard2025
#KeepingJohorSafe
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


