SUKARELAWAN SV HARGAI PEMBERIAN BANTUAN KASIH JOHOR

Sukarelawan Southern Volunteers menyifatkan insentif RM100 dalam Belanjawan Johor 2026 sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada badan sukarelawan. | Foto arkib MDJ
#JohorBahru – Sukarelawan Southern Volunteers (SV) menyifatkan pemberian insentif RM100 sebagaimana yang terkandung dalam Belanjawan Johor 2026 bukan sahaja sebagai tanda penghargaan tetapi juga pengiktirafan kepada badan sukarelawan berkenaan.
Muhammad Aidil Azizi Hanafiah, 21, menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor atas keprihatinan Kerajaan Negeri menghargai jasa sukarelawan, khususnya dalam kalangan Orang Muda Johor.
Bagi Siti Zubaidah Selamat, 40, beliau berpandangan sokongan dan penghargaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada sukarelawan SV adalah wajar memandangkan tugas tersebut dilaksanakan secara sukarela tanpa sebarang bayaran dan dilakukan demi kesejahteraan negeri tercinta.
Katanya, sukarelawan SV amat diperlukan dan dipandang tinggi oleh Kerajaan Negeri, selain insentif yang diberikan mampu menjadi pemangkin kepada semangat serta meningkatkan budaya kesukarelawanan pada masa hadapan khususnya membabitkan golongan Orang Muda Johor.
Pada Belanjawan Johor 2026, Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM6.25 juta kepada sukarelawan Southern Volunteers (SV) menerusi inisiatif Bantuan Kasih Johor Southern Volunteers (SV) dengan pemberian insentif RM100 seorang sebagai penghargaan.
SV adalah sebuah pasukan sukarelawan Negeri Johor yang ditubuhkan bagi menyokong pelaksanaan program kebajikan, kemasyarakatan dan pengurusan bencana di seluruh negeri, selain membantu memastikan setiap bantuan dapat disampaikan dengan lebih pantas, teratur dan berkesan.
Inisiatif baharu ini memberi manfaat kepada seramai 62,490 sukarelawan SV di seluruh Johor sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen mereka dalam pelbagai program serta aktiviti kemasyarakatan.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BantuanKasihJohor
#SouthernVolunteers
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


