TVET JADI PILIHAN UTAMA GRADUAN ADTEC JTM BATU PAHAT BINA KERJAYA
Oleh: Suhana Ariffin

Muhamad Thaqif Zazuli, 21membuktikan TVET menjadi pilihan utama dalam pembinaan kerjaya apabila dinobatkan sebagai graduan terbaik peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) ADTEC JTM Kampus Batu Pahat. | Foto ADTEC JTM Kampus Batu Pahat
#BatuPahat – Bukan sekadar pilihan alternatif, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi pilihan utama graduan Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Batu Pahat untuk membina kerjaya pada masa hadapan.
Perkara itu dibuktikan oleh Muhammad Amin Syazani Azhar, 22, dan Muhamad Thaqif Zazuli, 21, yang masing-masing dinobatkan sebagai graduan terbaik bagi peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dari ADTEC JTM Kampus Batu Pahat sempena Istiadat Konvokesyen ADTEC JTM Kali Ke-29 Wilayah Selatan Tahun 2026.
Bagi Muhammad Amin Syazani menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada barisan tenaga pengajar di ADTEC JTM dan rakan sekuliahnya, selain beliau turut juga mendedikasikan kejayaan ini untuk ibu bapanya yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang tempoh pengajiannya di kolej berkenaan.
Graduan Kursus Diploma Teknologi Mekatronik itu memberitahu TVET kini menawarkan peluang kerjaya yang luas malah berpeluang menceburi pelbagai bidang semasa menjalani latihan praktikal seperti bidang keselamatan dan penyeliaan tapak ‘site supervisor’, sekali gus menambah pengalaman berguna untuk dirinya sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
Sementara itu, Muhammad Thaqif Zazuli, 21, graduan Kursus Sijil Teknologi Minyak dan Gas pula memaklumkan beliau kini merancang untuk berhijrah ke Singapura bagi menceburi bidang pekerjaan baharu dan menjadikan TVET sebagai asas serta panduan sepanjang laluan kerjayanya selepas ini.
Di sebalik kejayaan meraih anugerah Graduan Terbaik, beliau menyifatkan pencapaian itu adalah berkat doa daripada ibunya, sekali gus menjadikan kejayaan tersebut sebagai perkara yang cukup bermakna buat dirinya terutama selepas kematian bapanya semasa menduduki peperiksaan akhir, sebelum ini.
Terdahulu, YBrs. Encik Sutekno Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ADTEC JTM Ke-29 Wilayah Selatan Tahun 2026 di Dewan Sri Nilam, ADTEC JTM Kampus Batu Pahat.
#JohorSafeZone
#ADTECWilayahSelatan
#ADTECJTM
#TVET
#Konvokesyen29
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


