KK TAMPOI LANJUT WAKTU OPERASI, TAMPUNG KEPERLUAN RAWATAN PESAKIT LUAR

YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor meninjau operasi waktu lanjutan di KK Tampoi bagi melihat sendiri kelancaran perkhidmatan selepas waktu operasi klinik berkenaan dilanjutkan. | Foto FB AH SOON
#IskandarPuteri – Klinik Kesihatan (KK) Tampoi kini melanjutkan waktu operasinya sehingga jam 9 malam bagi menampung keperluan rawatan pesakit luar khususnya di sekitar Johor Bahru, susulan kerja-kerja menaik taraf Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB).
Operasi perkhidmatan lanjutan berkenaan juga turut dilaksanakan di KK Sultan Ismail, dengan kedua-dua klinik kini beroperasi dari jam 5 petang hingga 9 malam bagi menerima pesakit yang memerlukan rawatan bukan kecemasan.
Dalam tempoh empat jam waktu operasi tambahan itu, kira-kira 100 pesakit telah mendapatkan rawatan di KK Tampoi dengan perkhidmatan berjalan lancar serta tempoh menunggu sekitar 30 minit untuk mendapatkan rawatan doktor.
Langkah berkenaan dilaksanakan bagi membantu menampung keperluan pesakit luar ketika Jabatan Kecemasan HSAJB sedang menjalani kerja-kerja naik taraf dan beroperasi sementara di lokasi baharu dengan kapasiti ruang yang agak terhad.
Justerus, orang ramai yang mengalami masalah kesihatan tetapi tidak berada dalam keadaan kecemasan disarankan supaya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dapat memberi tumpuan kepada pesakit yang amat memerlukan rawatan.
Terdahulu, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor meninjau operasi waktu lanjutan di KK Tampoi bagi melihat sendiri kelancaran perkhidmatan selepas waktu operasi klinik berkenaan dilanjutkan.
#JohorSafeZone
#KKTampoi
#KKSultanIsmail
#HSAJB
#KesihatanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


