KERAJAAN JOHOR PASTIKAN PENGINAPAN PELAJAR JOHOR DI MESIR SEMPURNA

YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor mengadakan lawatan serta pemantauan ke asrama pelajar Johor di Mesir. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#Kaherah, Mesir – Kerajaan Johor komited memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar Johor di Mesir terus terpelihara menerusi kerja naik taraf serta baik pulih dua penginapan pelajar, iaitu Rumah Johor Rabaah dan Rumah Johor Hayyun Thamim.
Kerja naik taraf dan baik pulih yang bermula sejak tahun 2024 ini melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM468,633.31, merangkumi RM336,098.26 bagi Rumah Johor Rabaah manakala RM132,535.05 bagi Rumah Johor Hayyun Thamim.
Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan penginapan pelajar Johor di Mesir berada pada tahap yang lebih selamat, selesa dan berfungsi, selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan anak Johor di perantauan.
Di Rumah Johor Rabaah, skop kerja merangkumi penyelenggaraan dan naik taraf kawasan awam serta unit dalaman termasuk pagar, lobi, sistem paip dan saliran, pam air, lif, sistem elektrik, sistem audio, alat pemadam api, selain kerja-kerja mengecat bangunan, pemasangan kunci keselamatan, dapur serta bilik air.
Sementara itu, kerja-kerja di Rumah Johor Hayyun Thamim pula melibatkan pemasangan dan penggantian lampu, kipas, jeriji tingkap, pagar besi, pembersihan karpet, penyelenggaraan pam air dan lif serta penutupan dan kemasan semula bukaan penyaman udara.
Selain kerja baik pulih, Kerajaan Johor turut bersetuju menyediakan fasiliti baharu di kedua-dua rumah tersebut, antaranya mesin pengering pakaian serta kemudahan WiFi, sekali gus menyokong keperluan harian dan pembelajaran pelajar di perantauan.
Untuk rekod, Rumah Johor Rabaah menempatkan seramai 160 pelajar, manakala Rumah Johor Hayyun Thamim pula 96 pelajar, dengan setiap rumah mempunyai tiga bilik serta satu bilik lagi yang boleh menempatkan sehingga enam orang pelajar.
Kerja naik taraf dan baik pulih ini dijangka siap sepenuhnya pada akhir Januari 2026 dan kini berada di peringkat kerja-kerja kemasan akhir, sekali gus dijangka memberi kesan langsung terhadap peningkatan tahap keselamatan, keselesaan dan kebajikan pelajar Johor.
Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor mengadakan lawatan serta pemantauan ke asrama pelajar Johor di Mesir, semalam.
Turut hadir, YB Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ); YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan, Ahli Majlis MAINJ; YBhg. Tuan Haji Nasri Md. Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ); YBhg. Tuan Haji Mohd Radzi Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ; serta YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal Haji Shamsudin, Pengarah Urusan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
#JohorSafeZone
#PelajarJohor
#Mesir
#MAINJ
#JAINJ
#KUIJSI
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


