KAPASITI AIR DAN ELEKTRIK MENCUKUPI, PELABURAN TIDAK JEJAS BEKALAN RAKYAT

Johor juga merancang pelaksanaan lima projek Loji Rawatan Air (LRA) baharu dan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) menerusi Ranhill SAJ Sdn. Bhd. bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang akan dibangunkan secara berperingkat sehingga tahun 2035. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memberi jaminan bahawa kapasiti bekalan air dan elektrik negeri kekal mencukupi serta tidak terjejas walaupun kemasukan pelaburan strategik semakin rancak khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Keperluan asas rakyat terus menjadi keutamaan dengan setiap pelaburan berskala besar hanya dipertimbangkan selepas melalui penilaian teknikal yang ketat bagi melindungi bekalan sedia ada.
Secara keseluruhan, pendekatan berfasa dan berasaskan perancangan ini memastikan kapasiti bekalan air dan elektrik Johor kekal stabil, selamat dan mampan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri tanpa menjejaskan keperluan asas rakyat.
Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), kapasiti terpasang di kawasan JS-SEZ berjumlah 3,885 Mega Volt-Ampere (MVA) dengan permintaan semasa sekitar 1,272 megawatt (MW) atau 72.76 peratus yang masih berada dalam margin operasi selamat bagi tenaga elektrik.
Sebagai persediaan jangka panjang, TNB turut merancang pembangunan infrastruktur grid secara berfasa melibatkan empat Pencawang Masuk Utama (PMU) yang telah diluluskan dan sembilan PMU tambahan bagi menyokong pertumbuhan permintaan masa hadapan.
Manakala Ranhill SAJ Sdn. Bhd. memaklumkan kawasan JS-SEZ mempunyai peruntukan kapasiti bekalan air sebanyak 1,488 juta liter sehari (JLH) dengan pengeluaran semasa sekitar 1,261 JLH sekali gus menyediakan rizab kira-kira 15 peratus.
Selain itu, Johor juga merancang pelaksanaan lima projek Loji Rawatan Air (LRA) baharu dan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) menerusi Ranhill SAJ Sdn. Bhd. bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang akan dibangunkan secara berperingkat sehingga tahun 2035.
#JohorSafeZone
#Utiliti
#JS-SEZ
#AirDanElektrik
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



