JOHOR SOKONG KEMBALIKAN UPSR DAN PT3 SERTA WUJUD AKTA PERLINDUNGAN GURU

Kerajaan Johor menyokong usaha mengembalikan UPSR dan PT3 sebagai penanda aras utama bagi penilaian pencapaian akademik murid secara lebih sistematik dan jelas. | Foto FB Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menzahirkan sokongan terhadap keperluan mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sebagai penanda aras utama bagi menilai pencapaian akademik murid secara lebih jelas serta tersusun.

 

Pendekatan ini dilihat penting dalam membantu guru, ibu bapa dan pihak sekolah memahami tahap penguasaan pembelajaran murid sekali gus menyokong perancangan intervensi pendidikan yang lebih berkesan serta berfokus, jelas YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

Sokongan tersebut juga selari dengan keprihatinan disuarakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, berhubung keperluan mewujudkan sistem penilaian pendidikan yang seimbang antara pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

 

Pada masa sama, Kerajaan Johor turut menyokong cadangan untuk mewujudkan Akta Perlindungan Guru bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan martabat profesion keguruan terus terpelihara.

 

Cadangan tersebut bertepatan dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh warga pendidik termasuk beban tugas yang semakin kompleks, isu pelaksanaan disiplin dan keperluan kepada sokongan perundangan yang lebih jelas serta adil.

 

Pendekatan menyeluruh merangkumi pengukuhan sistem pentaksiran dan perlindungan profesion keguruan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Johor dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negeri.

 

Usaha berterusan ini selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, berdaya saing dan berwibawa demi masa depan negeri serta negara.

 

#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor