RIANLON CORPORATION LABUR RM1.27 BILION BANGUNKAN FASILITI DI TANJUNG LANGSAT

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Pembuatan serta Kemudahan R&D Rianlon Corporation di Tanjung Langsat. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#PasirGudang – Rianlon Corporation, syarikat peneraju global dalam bidang polimer anti-penuaan dan kosmetik, membuat pelaburan bernilai RM1.27 bilion menerusi pembinaan kilang pembuatan serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Tanjung Langsat.
Projek yang dilaksanakan dalam dua fasa ini dijangka mewujudkan kira-kira 300 peluang pekerjaan khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknikal termasuk jawatan jurutera serta juruteknik selari dengan keperluan industri kimia khusus berteknologi tinggi.
Fasa pertama projek dengan kos pelaburan sebanyak RM820 juta melibatkan pembinaan fasiliti pengeluaran bahan kimia khusus bagi industri penjagaan kulit meliputi produk pelindung suria dan anti-penuaan yang digunakan oleh jenama antarabangsa terkemuka.
Manakala fasa kedua projek pula dengan kos pelaburan berjumlah RM450 juta membabitkan pengeluaran bahan kimia khusus untuk industri pelincir melalui kerjasama strategik bersama Infineum International Limited dari United Kingdom yang disasarkan beroperasi sepenuhnya bermula pertengahan tahun 2027.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut berjaya memudah cara keseluruhan proses perancangan projek termasuk penyelarasan bersama agensi utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ranhill SAJ Sdn. Bhd. serta agensi berkaitan sekali gus membolehkan projek ini dimulakan mengikut jadual yang ditetapkan.
Sementara itu, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) telah memulakan perbincangan bersama pihak syarikat bagi melaksanakan program ‘place and train’ serta latihan awal sebelum operasi bermula, selain komitmen menyediakan 30 tawaran biasiswa kepada rakyat Johor untuk melanjutkan pengajian di Universiti Tianjin, China.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Pembuatan serta Kemudahan R&D Rianlon Corporation di Tanjung Langsat, hari ini.
Turut hadir, YB Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG); YBhg. Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru serta YBrs. Encik Li Hai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Rianlon Corporation.
#JohorSafeZone
#RianlonCorporation
#PelaburanJohor
#TanjungLangsat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


