JOHOR PANTAU SITUASI TIBI LIBATKAN MURID DI KOTA TINGGI

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. | Foto arkib MDJ

 

#KotaTinggi – Kerajaan Johor memaklumkan situasi penularan penyakit Tuberkulosis (Tibi) yang melibatkan murid sekolah di daerah Kota Tinggi ketika ini berada dalam keadaan terkawal dan dipantau rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Sehingga kini, tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan dengan sesi persekolahan diteruskan seperti biasa, selaras garis panduan kesihatan yang ditetapkan sebelum ini.

 

Kesemua enam murid yang disahkan menghidap Tibi telah diarahkan menjalani proses kuarantin serta menjalani rawatan sewajarnya di bawah pemantauan berterusan pihak KKM mengikut prosedur kesihatan yang telah ditetapkan.

 

Bagi memastikan kawalan berkesan, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi turut digerakkan ke sekolah-sekolah terlibat untuk mengadakan sesi penerangan bersama pihak pengurusan sekolah berkaitan langkah pencegahan dan pengurusan kesihatan murid.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menegaskan agar pihak sekolah mematuhi sepenuhnya arahan dan garis panduan KKM, khususnya melibatkan aspek kebersihan, pemantauan kesihatan serta tindakan susulan yang telah ditetapkan.

 

Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih atau spekulasi berkaitan situasi ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

 

Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan KKM serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara.

 

#JohorSafeZone
#Tuberkolosis
#TIBI
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor