DARI RUMAH MAMPU TENGOK KE RUMAH MAMPU MILIK

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan Majlis Serahan 2,000 unit RMMJ, di Arena Larkin. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Pendekatan berstruktur Kerajaan Negeri dalam merombak dasar perumahan melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) mula membuahkan hasil apabila pelaksanaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan pelbagai inisiatif perumahan lain telah digerakkan semula secara tersusun dan berfokus kepada keperluan sebenar rakyat.
Sejak tahun 2022 hingga suku keempat 2025, sebanyak 20,212 unit RMMJ telah siap dibina dan diserahkan kepada pembeli yang juga Bangsa Johor yang mendambakan pemilikan rumah yang bukan sahaja selesa dan berkualiti, tetapi juga mampu dimiliki.
Komitmen ini selari dengan sasaran jangka sederhana Kerajaan Negeri untuk membina 30,000 unit RMMJ sehingga 2026 dan tambahan 70,000 unit lagi menjelang 2030, sekali gus mencapai sasaran keseluruhan 100,000 unit bagi inisiatif pembinaan perumahan untuk rakyat Johor.
Usaha memastikan rakyat memiliki rumah idaman ini juga turut diterjemah menerusi penambahbaikan proses permohonan yang dipermudahkan daripada 17 dokumen kepada lima dokumen menerusi sistem dalam talian bermula tahun 2022, sekali gus menghapuskan kos permohonan dan mengurangkan beban karenah birokrasi kepada pemohon.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga berjaya menyelesaikan isu lebih 150,000 unit rumah mampu milik yang tertangguh sejak hampir dua dekad lalu melalui penubuhan Jawatankuasa Penilaian, Perancangan dan Reka Bentuk (PDRC) yang menyatukan agensi berkaitan dan pemaju bagi mempercepatkan kelulusan serta pelaksanaan semula projek perumahan berkenaan.
Hasil rundingan bersepadu ini, Kerajaan Negeri berjaya meraih komitmen pembinaan 42,694 unit rumah mampu milik sehingga tahun 2030 dengan harga antara RM45,000 hingga RM300,000 melalui mekanisme subsidi bersama bagi memastikan keperluan perumahan yang disediakan akan benar-benar mampu dimiliki rakyat.
Selain itu, inisiatif Rumah Kasih Johor dan Rumah Prihatin Johor juga menunjukkan peningkatan penyerahan kepada golongan fakir miskin, miskin tegar dan orang kurang upaya (OKU), selain pengenalan Inisiatif Perumahan Kasih Johor 2026 pula merangkumi bantuan sewa, pembelian dan kemasukan rumah pertama.
Keseluruhan daripada pendekatan ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Johor untuk menjadikan dasar perumahan sebagai instrumen kesejahteraan rakyat, dengan ia dijayakan dengan kerjasama strategik pihak pemaju sebagai rakan pelaksana bagi merealisasikan agenda Rumah Mampu Milik untuk Bangsa Johor.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan Majlis Serahan 2,000 unit RMMJ, di Arena Larkin, hari ini.
#JohorSafeZone
#RumahMampuMilikJohor
#PerumahanKasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



