KEJADIAN WABAK TIBI MASIH TERKAWAL, TIADA SEKOLAH DITUTUP

Situasi wabak Tuberkulosis (Tibi) di daerah Kota Tinggi setakat ini terkawal dan tiada arahan penutupan sekolah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri– Kejadian wabak Tuberkulosis (Tibi) yang dilaporkan berlaku di daerah Kota Tinggi sehingga kini masih berada dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang arahan penutupan sekolah telah dikeluarkan oleh pihak berwajib.

 

Sebarang keputusan berkaitan penutupan sekolah berada di bawah bidang kuasa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan ia akan dibuat berdasarkan penilaian risiko kesihatan semasa, jelas YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

Setakat ini, semua murid di sekolah terlibat telah menjalani saringan kesihatan sepenuhnya yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah pengesanan awal dengan hasil saringan tersebut akan membolehkan tindakan susulan diambil.

 

Selain itu, PKD Kota Tinggi turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak pengurusan sekolah bagi memperincikan langkah kawalan yang perlu dilaksanakan, serta mengatur kehadiran pegawai perubatan ke sekolah-sekolah terlibat bagi memberikan penerangan berkaitan penyakit Tibi.

 

Kerajaan Negeri juga akan terus bekerjasama rapat bersama KKM dan PKD bagi memastikan situasi semasa dapat ditangani secara berhemah, telus dan berkesan, selain menyeru semua pihak sekolah dan ibu bapa agar terus mematuhi arahan serta garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak KKM.

 

#JohorSafeZone
#TIBI
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor