BLOK TAMBAHAN HOSPITAL PONTIAN BAKAL SIAP JANUARI 2032

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri diiringi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian. | Foto MDJ Wira Anggara
#Pontian – Projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Pontian bernilai RM400 juta yang dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2032 bakal memperkukuh kapasiti perkhidmatan kesihatan awam di Johor Barat.
Dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), projek ini dijangka mengurangkan kesesakan pesakit dan kebergantungan terhadap Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Projek ini akan mentransformasikan Hospital Pontian menjadi hospital pakar minor dengan kemudahan rawatan lebih moden, komprehensif dan selesa bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan semasa khususnya untuk penduduk Pontian, Benut, Kukup serta kawasan sekitarnya.
Diseliakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Cawangan Kerja Kesihatan, projek ini meliputi pembinaan blok hospital baharu berkapasiti 110 katil, parkir bertingkat, kuarters petugas kesihatan, blok Mekanikal dan Elektrik (M&E) serta laluan penghubung untuk memastikan integrasi lancar dengan bangunan sedia ada.
Selain memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat bandar dan luar bandar, pembangunan ini turut mengekalkan nilai warisan hospital yang telah menjadi nadi rawatan kesihatan setempat sejak mula beroperasi pada tahun 1929.
Untuk rekod, JKR kini menyelia 23 projek kesihatan di seluruh Johor dengan nilai keseluruhan RM2.625 bilion selaras aspirasi pembangunan negara bagi memastikan kemudahan kesihatan awam terus diperkasa dan manfaatnya dinikmati rakyat secara menyeluruh.
Terdahulu, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri diiringi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian, hari ini.
Turut hadir, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan; YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya dan YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
#JohorSafeZone
#HospitalPontian
#SistemKesihatanJohor
#BlokTambahan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


