JOHOR PERKASA ‘OMNI PRESENCE’, PERANGI PEMBUANGAN SAMPAH KECIL

Mesyuarat penyelarasan pelaksanaan kehadiran bersepadu pelbagai agensi secara menyeluruh (OMNI PRESENCE) di lapangan di kawasan Greater Johor Bahru telah dipengerusikan YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperkukuh pendekatan ‘Omni Presence’ sebagai antara strategi utama dalam memastikan kebersihan awam terus terpelihara, khususnya membabitkan usaha menangani kesalahan membuang sampah kecil di kawasan bandar dan lokasi tumpuan orang ramai.
Pendekatan ini menekankan kehadiran berterusan pasukan penguat kuasa, pemantauan menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV), operasi bersepadu bersama SWCorp dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta penglibatan komuniti setempat bagi memastikan pemantauan kebersihan dapat dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh.
Kesalahan seperti membuang puntung rokok, plastik dan sisa domestik ringan dikenal pasti masih kerap berlaku di terminal pengangkutan awam, kawasan komersial dan pusat bandar termasuk di Johor Bahru, Kulai dan Batu Pahat. Justeru, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara lebih sistematik khususnya di kawasan Greater Johor Bahru.
Sehingga 5 Februari lalu, sebanyak 77 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan melibatkan kesalahan sampah kecil dengan lima kes telah dibawa ke mahkamah, empat pesalah dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dan jumlah denda terkumpul sebanyak RM3,000.
Penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang menekankan prinsip pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan, di mana pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 serta diperintahkan menjalani kerja khidmat masyarakat sehingga 12 jam di bawah seliaan SWCorp.
Pelaksanaan pendekatan ini merupakan kesinambungan Johor Bersih 1.0 yang dilancarkan pada Julai 2022 dan kini ia diperkasa melalui Johor Bersih 2.0 dengan memberi penekanan lebih tegas terhadap kesalahan sampah kecil serta pembudayaan kebersihan awam dalam kalangan masyarakat.
Usaha bersepadu ini selari dengan aspirasi Bandar Bersih Johor 2030 yang menekankan rasa pemilikan dan tanggungjawab bersama terhadap kebersihan bandar bagi memastikan keadaan persekitaran sentiasa kekal bersih, sihat dan sejahtera untuk Bangsa Johor.
Kerajaan Johor juga menegaskan kebersihan awam adalah tanggungjawab bersama dengan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas manakala aspek pendidikan serta kesedaran masyarakat akan terus menjadi keutamaan dalam menjayakan inisiatif Johor Bersih 2.0.
#JohorSafeZone
#JohorBersih
#PerintahKhidmatMasyarakat
#NoLittering
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


