JDT ‘FAIR PLAY’ DI PENTAS ANTARABANGSA

Wakil pengurusan Kelab Bolasepak Al-Ahli melawat penyerang Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Jairo Da Silva di Kompleks Perubatan Raja Abdullah.

 

#IskandarPuteri – Perjuangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terhenti di peringkat lapan terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2025-2026 apabila tewas 2-1 kepada juara bertahan dari Arab Saudi, Al-Ahli.

 

Pelbagai reaksi dan drama sepanjang 90 minit perlawanan tersebut berlangsung termasuk insiden Jairo Da Silva, penyerang Harimau Selatan yang dilihat seakan tidak sedarkan diri selepas ditendang di bahagian muka oleh Ali Majrashi, pemain Al-Ahli yang cuba mengeluarkan bola dengan melakukan sepakan gunting.

 

Jairo yang turut menyumbang bantuan gol dalam perlawanan tersebut terus diusung keluar dari padang dan dibawa ke Kompleks Perubatan Raja Abdullah sebagai langkah penjagaan awal.

 

Walau bagaimanapun, JDT dalam satu kenyataan memaklumkan Jairo mengalami koyakan pada bahagian bibir serta menerima beberapa jahitan dan dibenarkan keluar dari hospital.

 

Insiden itu mendapat perhatian seluruh dunia bola sepak apabila kelewatan pasukan perubatan memasuki padang sehingga menyebabkan Natxo Insa, kapten JDT terpaksa mengambil sendiri pengusung untuk menyelamatkan nyawa Jairo.

 

Ekoran dari insiden itu, wakil pengurusan Al-Ahli meluangkan masa melawat Jairo untuk bertanyakan khabar dan memastikan pemain JDT tersebut berada dalam keadaan terbaik sepanjang berada di Jeddah.

 

Majrashi juga hadir meluangkan masa melawat Jairo bertanyakan khabar dan dilihat bersalaman selepas insiden cemas yang membuatkan beliau mengalirkan air mata akibat rasa bersalah.

 

JDT juga menerima permohonan maaf dari Al Ahli dan Harimau Selatan juga meminta maaf kepada pihak perubatan stadium atas insiden yang berlaku.

 

Perkara seperti ini membuktikan bahawa bola sepak menyatukan semua. Respon positif daripada kelab Al-Ahli turut mendapat sambutan baik daripada JDT.

 

Terbukti semangat ‘fair-play’ antara kedua-dua kelab di pentas antarabangsa, sekali gus meningkatkan nilai jenama JDT dalam dunia bola sepak.

 

Luaskan Kuasamu Johor!

 

#JohorSafeZone
#AHLvJDT
#ACLElite
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor