JOHOR BAKAL LANCAR KEMPEN SEKOLAH SELAMAT LIBATKAN PELBAGAI AGENSI

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor pada Karnival SUKSES 5.0 Peringkat Negeri Johor di KUYPJ. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#KotaTinggi – Kerajaan Johor bakal melancarkan Kempen Sekolah Selamat yang akan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan sebagai langkah proaktif bagi memperkukuh persekitaran pembelajaran yang selamat serta kondusif di seluruh negeri ini.
Inisiatif yang digerakkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) ini dirangka sebagai respons terhadap situasi isu disiplin semasa dengan penegasan bahawa sekolah merupakan ruang selamat untuk semua pelajar.
Pelaksanaan kempen ini akan digerakkan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melalui pelbagai program kesedaran, advokasi serta intervensi yang akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun 2026.
Pendekatan menyeluruh ini dijangka mampu memberi impak positif dalam menangani isu disiplin termasuk buli dan salah laku pelajar, selari dengan perkembangan semasa yang menunjukkan trend lebih terkawal, hasil pelaksanaan Kempen Anti-Buli yang telah dilaksanakan pada tahun lalu.
Dalam pada itu, penganjuran Karnival Pendidikan Kerjaya Murid (SUKSES 5.0) yang menghimpunkan 12,000 pelajar dan guru turut menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah serta hala tuju masa depan generasi muda Johor.
Karnival anjuran JPNJ dengan kerjasama Kumpulan Pendidikan YPJ melalui Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor ini menyediakan pendedahan awal kepada laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih terarah dan bersepadu.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyempurnakan perasmian Karnival SUKSES 5.0 Peringkat Negeri Johor di KUYPJ, hari ini. Hadir sama, YBhg. Tuan Mohd Fahmi Salam, Ketua Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ Sdn. Bhd.
#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#JohorLeads
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



