393 KELUARGA NIKMATI RUMAH PERCUMA DISEDIAKAN KERAJAAN JOHOR

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyantuni salah seorang penerima Rumah Kasih Johor. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Sebanyak 393 keluarga Bangsa Johor kini berjaya merealisasikan impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri yang selamat dan selesa menerusi inisiatif Rumah Percuma Johor atau Rumah Kasih Johor yang telah dilaksanakan di seluruh daerah di negeri ini sejak tahun 2023.
Pencapaian ini membuktikan agenda perumahan rakyat di negeri ini sentiasa dilaksanakan secara menyeluruh tanpa tertumpu kepada kawasan tertentu, sekali gus memastikan manfaatnya akan dapat dirasai oleh setiap lapisan Bangsa Johor secara adil dan saksama.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam memastikan segala aspek kesejahteraan rakyat khususnya berkaitan asas kehidupan yang stabil melalui pemilikan kediaman yang selamat dan sempurna dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Pada peringkat awal, Kerajaan Johor hanya mensasarkan pembinaan 500 unit sehingga tahun 2026, namun sasaran tersebut kini telah dinaikkan kepada 700 unit. Ia juga menjadi antara langkah proaktif yang dimainkan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu lebih ramai rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah untuk turut sama memiliki peluang memiliki kediaman sendiri kelak.
Pelaksanaan program ini disusun secara berfasa melibatkan 50 unit pada tahun 2023, 120 unit pada 2024, 165 unit pada 2025 dan 365 unit pada 2026 dengan peruntukan keseluruhan mencecah kira-kira RM96.5 juta.
Rumah yang dibina ini merangkumi pilihan satu, dua dan tiga bilik mengikut kesesuaian tapak serta struktur isi rumah bagi memastikan kediaman yang disediakan bukan sahaja praktikal tetapi juga mampu memenuhi keperluan penerimanya.
Bagi maksud itu juga, Kerajaan Johor turut menambah baik syarat kelayakan untuk mendapatkan inisiatif perumahan berkenaan dengan meningkatkan paras garis kemiskinan per kapita kepada sekitar RM850, selain turut memberi kelonggaran melibatkan status tanah keluarga dengan keizinan serta kebenaran pemiliknya.
Pendekatan lebih inklusif ini dilaksanakan bagi memastikan bantuan berkenaan akan sampai kepada golongan sasar secara tersusun dan berimpak, selaras dengan agenda kebajikan perumahan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kesejahteraan Bangsa Johor secara menyeluruh.
#JohorSafeZone
#PerumahanJohor
#RumahKasihJohor
#RumahPercumaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


