STANDARD JDT, CABARAN BUAT BOLA SEPAK MALAYSIA

Pembangunan pusat latihan baharu JDT yang terletak berhadapan Stadium Sultan Ibrahim memperlihatkan bagaimana standard bola sepak moden sedang dibentuk secara serius di Johor. | Foto JOHOR Southern Tigers

 

 

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor

 

 

1. Tahniah kepada penyokong pasukan Arsenal yang berjaya menamatkan penantian 22 tahun untuk kembali menjulang trofi Liga Perdana Inggeris. Dari zaman TV berkotak, bermain di Highbury sehinggalah beraksi di stadium serba moden, akhirnya penyokong ‘The Gunners’ dapat juga merasai nikmat menjadi juara.

 

2. Namun hari ini bukan mahu bercerita tentang Arsenal, sebaliknya bagaimana Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang membentuk standard baharu bola sepak dalam negara menerusi pembangunan ekosistem yang semakin tersusun dan bertaraf antarabangsa.

 

3. Hakikatnya, kejayaan dalam bola sepak moden hari ini bukan lagi bergantung kepada nama besar semata-mata, tetapi bagaimana keupayaan sesebuah kelab itu dapat membina struktur, budaya dan ekosistem pembangunan yang mampu bertahan untuk jangka masa panjang.

 

4. Atas asas itu, pembangunan pusat latihan baharu JDT yang terletak berhadapan Stadium Sultan Ibrahim memperlihatkan bagaimana standard bola sepak moden sedang dibentuk secara serius di Johor.

 

5. Pusat latihan itu dijangka menjadi hab pembangunan bola sepak bertaraf antarabangsa dengan pelbagai fasiliti lengkap termasuk padang latihan, fasiliti tertutup, stadium mini, pusat sains sukan, pusat perubatan, gimnasium, auditorium, penginapan pemain serta pembangunan akademi.

 

6. Keseluruhan pembangunan ini juga akan menghimpunkan semua pasukan JDT daripada skuad junior hingga senior dalam satu ekosistem ‘under one roof’ yang saling berhubung dan tersusun.

 

7. Dalam bola sepak elit dunia, model pembangunan seperti ini digunakan oleh kelab seperti Manchester City menerusi Etihad Campus yang menggabungkan stadium utama, pusat latihan dan akademi dalam satu kawasan pembangunan moden.

 

8. Pendekatan hampir sama dapat dilihat di Ajax Amsterdam, kelab liga Eredivisie di Belanda menerusi kompleks latihan De Toekomst yang terletak kira-kira 2 kilometer dari Johan Cruijff Arena yang terkenal dengan sistem pembangunan pemain muda yang tersusun dan konsisten.

 

9. Real Madrid pula menggunakan Ciudad Real Madrid Florentino Perez pada tahun 2005 sebagai kompleks latihan dan pembangunan akademi bertaraf dunia yang menjadi tunjang kepada kekuatan jangka masa panjang kelab tersebut.

 

10. Manakala Tottenham Hotspur menerusi Hotspur Way yang terletak berhampiran stadium utama mereka merangkumi pembangunan fasiliti berprestasi tinggi yang menekankan sains sukan, pemulihan dan pembangunan pemain secara menyeluruh.

 

11. Hakikatnya, pembangunan berpusat seperti ini bukan sekadar soal fasiliti moden, tetapi bagaimana visi atau kesungguhan sesebuah kelab itu untuk membentuk budaya profesional dan kesinambungan pembangunan pemain sejak usia muda.

 

12. Dalam konteks itu, langkah diambil JDT memperlihatkan Harimau Selatan tidak lagi bergerak dalam kerangka bola sepak tempatan semata-mata, tetapi sedang menetapkan aras baharu terhadap bagaimana kelab profesional perlu diurus dan dibangunkan.

 

13. DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor turut bertitah menzahirkan bahawa pusat latihan baharu tersebut merupakan antara sumbangan terakhir Baginda buat JDT dan disifatkan bakal menjadi antara fasiliti yang terbaik di dunia apabila ia siap kelak.

 

14. Pada masa sama, Stadium Sultan Ibrahim juga bakal diberi nafas baharu manakala Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin akan dinaik taraf sepenuhnya, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan terhadap pembangunan infrastruktur sukan di Negeri Johor.

 

15. Semua ini memperlihatkan pembangunan bola sepak Johor hari ini tidak lagi tertumpu kepada kejayaan bermusim, tetapi sedang bergerak ke arah pembentukan institusi sukan moden yang mempunyai identiti dan hala tuju jelas.

 

16. Mungkin persoalan paling besar ketika ini bukan lagi sejauh mana JDT mampu mendominasi bola sepak Malaysia, tetapi sejauh mana kelab lain mampu bergerak seiring dengan standard baharu yang sedang dibentuk di Johor kerana ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’.

 

17. Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas visi dan komitmen berterusan dalam memperkukuhkan pembangunan sukan negeri sehingga berjaya membentuk sebuah ekosistem bola sepak moden yang dihormati di peringkat Asia. Luaskan Kuasamu Johor.

 

#JohorSafeZone
#TheTMJEffect
#WhatCanYouDo
#TheGameIsRigged
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor