BERI RUANG KEPADA SIASATAN, KESELAMATAN MURID KEKAL JADI KEUTAMAAN

YB Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menziarahi kediaman keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di sini, hari ini. | Foto FB Dr Naqib Ghazali
#YongPeng – Semua pihak perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus bagi menentukan fakta sebenar kejadian berhubung kematian Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng.
YB Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor memberitahu kejadian serius berkenaan dipercayai berlaku di kawasan sekolah perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek kejadian yang berlaku, tetapi juga perlu melihat semula keberkesanan mekanisme keselamatan sedia ada serta langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.
Selain itu, usaha Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid memerlukan kerjasama berterusan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak sekolah dan ibu bapa bagi memperkukuh persekitaran sekolah yang selamat.
Katanya, pihaknya bersama JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat akan terus memantau perkembangan kes berkenaan serta sedia memberikan kerjasama yang diperlukan bagi membantu siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau juga turut menyeru orang awam dan pengguna media sosial supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa.
Terdahulu, Dr. Muhammad Naqib, menerima taklimat ringkas daripada pihak pentadbiran sekolah berhubung kes kematian pelajar perempuan berkenaan ketika meninjau lokasi kejadian di SMK Dato’ Seth, Yong Peng, petang tadi.
Usai meninjau ke lokasi kejadian, beliau turut meluangkan masa menziarahi datuk dan nenek Allahyarham Irene Sofiya yang merupakan penjaganya, selain menyampaikan ucapan takziah serta kata-kata semangat kepada pihak keluarga yang sedang berdepan kehilangan cucu perempuannya dalam insiden tragis berkenaan.
#YongPeng
#BatuPahat
#PendidikanJohor
#KeselamatanMurid
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


