KARNIVAL KERJAYA JTDC MYFUTURE JOBS @ BATU PAHAT PERKASA PASARAN KERJA DI JOHOR

Karnival Kerjaya JTDC MyFuture Jobs @ Batu Pahat melibatkan penyertaan sembilan majikan daripada pelbagai sektor yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada pencari kerja. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#BatuPahat – Karnival Kerjaya Johor Talent Development Council (JTDC) MyFuture Jobs @ Batu Pahat kini kembali menghimpunkan pencari kerja dan majikan daripada pelbagai industri khususnya di daerah ini dalam usaha untuk memperkasa pasaran kerja di Johor.

 

Karnival ini yang diadakan sempena Jelajah Orang Johor (JOJ) X Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor (JAOMJ) di kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) Semerah bagi memberi peluang kerjaya secara terus kepada golongan graduan dan pencari kerja, sekali gus membolehkan mereka mendapat pekerjaan bersesuaian dengan kehendak pasaran termasuk kerjaya yang turut menawarkan gaji premium.

 

Bagi Nor Azlin Zaini, 24, memberitahu ini adalah kali pertama beliau mencuba nasib di platform tersebut dan menganggap karnival seperti ini amat membantunya yang sedang mencari kerja terutama yang berdekatan dengan kampung halamannya di daerah Muar.

 

Beliau yang juga merupakan graduan dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah dalam jurusan Kejuruteraan Awam hadir ke karnival bagi memohon jawatan sebagai Penolong Pengurus dan Penolong Jurutera di Goucera Sdn Bhd serta Sin Kwang Plastic Industries Sdn Bhd.

 

Sementara itu, Ahmad Hilman Abdullah, 26, yang berasal dari Ayer Hitam pula turut menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform kerjaya kerana ia memudahkan graduan dan pencari kerja di daerah Batu Pahat serta kawasan sekitarnya untuk mendapatkan peluang pekerjaan tanpa perlu keluar ke daerah lain.

 

Beliau juga telah memohon jawatan sebagai Pembantu AM di Edaran SWM Sdn Bhd menyifatkan platform sedemikian membuka ruang besar untuknya meraih pekerjaan terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar, sekali gus membolehkan graduan dan pencari kerja mendapatkan peluang yang bersesuaian dengan kelayakan serta keperluan pasaran kerjaya semasa.

 

Penganjuran Karnival Kerjaya Johor Talent Development Council (JTDC) MyFuture Jobs @ Batu Pahat kali ini melibatkan sembilan majikan antaranya ialah Goucera Sdn Bhd; Salleh Food Industries Sdn Bhd; Edaran SWM Sdn Bhd; Mega Label (M) Sdn Bhd; Sin Kwang Plastic Industries Sdn Bhd dan beberapa syarikat lain.

 

Karnival kali ini juga turut merekodkan seramai 144 pencari kerja telah ditemu duga dengan 20 daripadanya telah berjaya mendapatkan pekerjaan mengikut syarat yang telah ditetapkan sebelum ini.

 

#JohorSafeZone
#JTDCJOBFAIR
#MyFutureJobs
#DUNSemerah
#JOJ
#JAOJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor