MENILAI BERDASARKAN HASIL KERJA, BUKAN PERSEPSI

Prestasi sesebuah kerajaan bukan sekadar diukur melalui ucapan atau manifesto, tetapi piawaian sebenar penilaian rakyat dibuat melalui hasil kerja yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

 

 

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor

 

 

 

 

1. Menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 yang secara rasmi memasuki fasa berkempen selepas selesai proses penamaan calon semalam, tumpuan rakyat kini bukan lagi sekadar kepada manifesto, janji atau retorik politik. Sebaliknya, inilah masanya untuk menilai semula apa yang telah dilaksanakan sepanjang empat tahun lalu serta melihat sendiri hasil dan impaknya yang telah dirasai sepanjang tempoh tersebut.

 

2. Dalam suasana pilihan raya, pelbagai dakwaan, tuntutan, pujian dan kritikan pasti akan selalu kedengaran. Namun, persoalannya mudah. Apakah ukuran sebenar untuk menilai sesebuah pentadbiran? Adakah ia berdasarkan persepsi yang dibina ketika setiap kali musim berkempen tiba atau melalui realiti sebenar apa yang telah dilalui rakyat setiap hari?

 

3. Hakikatnya, rakyat akan menilai berdasarkan kehidupan mereka sendiri. Mereka melihat sama ada peluang pekerjaan semakin bertambah, kos sara hidup terus diberi perhatian, bantuan sampai kepada yang memerlukan, rumah berjaya dimiliki atau perkhidmatan awam semakin baik.

 

4. Sebab itu, prestasi sesebuah kerajaan bukan sekadar diukur melalui ucapan atau manifesto, tetapi piawaian sebenar penilaian rakyat dibuat melalui hasil kerja yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

 

5. Dalam tempoh empat tahun lalu, Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion yang mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan baharu.

 

6. Usaha itu turut diperkukuhkan menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang berperanan untuk menyelaras pembangunan bakat, latihan kemahiran dan padanan pekerjaan mengikut keperluan industri. Hasilnya, lebih 8,500 anak muda Johor berjaya memperoleh pekerjaan dengan pendapatan melebihi RM4,000 sebulan, sekali gus membuktikan bahawa agenda pekerjaan bergaji premium bukan sekadar retorik.

 

7. Dalam aspek kebajikan pula, lebih 600,000 Bangsa Johor menerima manfaat menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang seseorang individu.

 

8. BKJ juga bukanlah bantuan yang hanya muncul ketika pilihan raya. Program ini telah dilaksanakan sejak September 2025 dan melalui pelaksanaan beberapa fasa sebelum ini.

 

9. Justeru, timbul persoalan mengapa hanya kini ada pihak yang menganggap kaedah penyerahan bantuan secara bersemuka sebagai sesuatu yang lapuk atau sekadar ‘gula-gula pilihan raya’, sedangkan kaedah yang sama telah digunakan sejak awal pelaksanaannya lagi.

 

10. Hakikatnya, penyampaian bantuan secara bersemuka telah lama diamalkan oleh pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan setiap bantuan yang diberikan akan terus diterima oleh mereka yang benar-benar layak.

 

11. Malah, bagi sesetengah rakyat, program seperti ini bukan sekadar tempat mengambil bantuan. Ia juga menjadi ruang untuk bertemu pemimpin, menyampaikan masalah setempat, mendapatkan maklumat mengenai bantuan lain serta mengeratkan hubungan sesama komuniti.

 

12. Sudah tentu penambahbaikan sentiasa boleh dilakukan selaras dengan perkembangan teknologi. Namun, tidak semua perkara yang dilaksanakan secara fizikal boleh dianggap atau dicop sebagai sesuatu yang sudah ketinggalan zaman.

 

13. Apa yang lebih penting ialah bantuan itu benar-benar sampai kepada penerima, terutama dalam kalangan rakyat yang masih berdepan dengan cabaran kos sara hidup masa kini.

 

14. Komitmen itu turut diterjemahkan dalam sektor perumahan. Lebih 20,000 Rumah Mampu Milik Johor telah siap dan diduduki, manakala sebanyak 42,694 unit lagi diluluskan untuk pembangunan sehingga tahun 2030.

 

15. Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga telah berjaya menyelesaikan 25 projek perumahan sakit dan terbengkalai yang melibatkan lebih 4,000 unit rumah. Bagi pembeli, penyelesaian ini bukan sekadar angka, tetapi ‘ending’ kepada satu kisah penantian panjang yang menyakitkan dan akhirnya berakhir apabila rumah yang diimpikan selama ini berjaya disiapkan.

 

16. Dalam bidang pendidikan pula, bantuan terus disalurkan kepada pelajar sekolah dan mahasiswa bagi meringankan beban keluarga. Kebajikan warga pendidik juga turut diberikan perhatian apabila lebih 49,000 guru di 1,195 sekolah menerima manfaat menerusi Bantuan Bilik Guru yang kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya.

 

17. Sektor kesihatan turut diperkasakan melalui pelbagai penambahbaikan. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.59 juta bagi melaksanakan pendekatan ‘decanting’ di beberapa Klinik Kesihatan (KK), termasuk KK Sultan Ismail, KK Gelang Patah, KK Kulai dan KK Majidi bagi mengurangkan kesesakan serta mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada ribuan pesakit setiap hari.

 

18. Semua ini bukan sekadar angka yang dicatatkan dalam laporan atau diumumkan di pentas. Ia adalah usaha yang boleh dilihat secara nyata dan manfaatnya telah dirasai oleh rakyat dalam kehidupan seharian.

 

19. Sudah tentu masih ada ruang untuk ditambah baik kerana pembangunan sesebuah negeri ialah proses yang berterusan. Setiap cabaran baharu memerlukan penyelesaian yang lebih baik dan tuntas.

 

20. Namun begitu, usaha yang telah dilaksanakan dan manfaat yang telah dinikmati rakyat juga tidak boleh dinafikan kerana ia merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

 

21. Jika sesuatu dasar memberi manfaat kepada rakyat, maka manfaat itu wajar diakui. Jika terdapat kelemahan, maka kelemahan itu juga perlu dinilai secara adil dan jujur tanpa sebarang prejudis.

 

22. Akhirnya, rakyat sendiri yang paling mengetahui keadaan sebenar. Mereka melihat peluang pekerjaan yang tersedia, bantuan yang diterima, rumah yang berjaya dimiliki, perkhidmatan kesihatan yang semakin baik serta pelbagai inisiatif lain yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

 

23. Apabila tiba masanya untuk membuat pilihan, ukuran sebenar bukanlah siapa yang paling lantang berbicara atau paling banyak menabur janji.

 

24. Sebaliknya, ukuran sebenar sesebuah pentadbiran ialah hasil yang telah dicapai, manfaat yang telah dirasai dan keyakinan bahawa usaha membangunkan Johor akan diteruskan demi kesejahteraan Bangsa Johor.

 

#JohorSafeZone
#PRUDNJohor16
#MehNgundi
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas