ENAM RESOLUSI DIBENTANG PACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN ISLAM JOHOR

Enam resolusi Agenda Transformasi Pendidikan Islam Negeri Johor dibentangkan bagi memperkukuh sistem pendidikan Islam secara menyeluruh merangkumi aspek dasar, tadbir urus, infrastruktur, digitalisasi, akses pendidikan dan pembangunan sumber manusia, sekali gus menjadi panduan memperkasa hala tuju pendidikan Islam negeri ini. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Enam resolusi Agenda Transformasi Pendidikan Islam Negeri Johor dibentangkan bagi memperkukuh sistem pendidikan Islam di negeri ini secara menyeluruh meliputi aspek dasar, tadbir urus, infrastruktur, digitalisasi, akses pendidikan dan pembangunan sumber manusia.
Resolusi berkenaan akan diangkat untuk mendapatkan perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sebagai panduan memperkasa hala tuju pendidikan Islam Negeri Johor.
Pembentangan resolusi ini memberi penekanan kepada usaha memperkemas struktur pentadbiran pendidikan Islam antaranya melalui cadangan penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan Islam Negeri Johor, penggubalan Enakmen Pendidikan Islam Negeri Johor, penstrukturan Bahagian Pendidikan Islam kepada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Johor serta penubuhan Pusat Perkembangan Kurikulum Pendidikan Islam Johor.
Agenda transformasi ini turut menggariskan keperluan memperkukuh transformasi digital sekolah agama termasuk pendigitalan urusan pentadbiran, peperiksaan dan pemantauan sekolah selain memperluas penggunaan teknologi serta pembelajaran hibrid dalam pendidikan Islam.
Selain itu, resolusi berkenaan mencadangkan penambahbaikan infrastruktur pendidikan Islam menerusi pembinaan sekolah agama baharu, pusat pendidikan, bilik darjah pintar serta kemudahan pendidikan lain bagi memenuhi keperluan semasa.
Usaha memperluas akses kepada pendidikan Islam berkualiti termasuk bagi murid berkeperluan pendidikan khas serta pembangunan model pra-tahfiz, turut menjadi antara fokus utama dalam resolusi tersebut.
Pada masa sama, resolusi dibentangkan juga mencadangkan pemerkasaan pengurusan sumber manusia melalui penambahbaikan jawatan guru, latihan profesional berasaskan kompetensi serta program sokongan psikologi bagi meningkatkan kualiti warga pendidik.
Kesemua resolusi berkenaan dibentangkan oleh YBhg. Tuan Haji Md Radhi Ruslan, Timbalan Pengarah (Pendidikan Agama) Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor pada Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor Peringkat Negeri Kali Ke-28 dan perasmian penutupan Program Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Johor Tahun 2026 di Stadium Tertutup Arena Larkin, hari ini.
#JohorSafeZone
#PendidikanIslamJohor
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



