KERAJAAN JOHOR MAHU SIASATAN MENYELURUH ISU NETWORK SCHOOL DI FOREST CITY

Sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, Kerajaan Negeri menggesa tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memandang serius mengenai kebimbangan rakyat berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan dengan menggunakan pasport negara kedua.
Kerajaan Negeri sentiasa tegas untuk tidak membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan Johor dan Malaysia, tegas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh.
Semakan dan siasatan itu meliputi identiti serta kewarganegaraan individu yang terlibat, dokumen perjalanan dan penggunaan pasport kedua, jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia, selain keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan.
Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital serta agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School, termasuk sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara.
Di peringkat negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semua aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing, termasuk syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta keperluan perundangan lain yang berkuat kuasa.
Sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, Kerajaan Negeri menggesa tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi.
Kerajaan Johor akan terus bertindak secara bertanggungjawab serta berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri dan mempertahankan kedaulatan negara.
#JohorSafeZone
#ForestCity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



