JETP PACU PEMBANGUNAN MERSING, BAWA MANFAAT KEPADA RAKYAT

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan lawatan kerja ke daerah Mersing yang disusuli pembentangan mengenai perkembangan pelaksanaan JETP bagi memperincikan hala tuju pembangunan ekonomi setempat. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Daerah Mersing akan terus dipacu sebagai antara hab pertumbuhan baharu di Johor menerusi pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) yang menggariskan pelbagai inisiatif strategik bagi merancakkan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pelan ekonomi itu akan memberi penekanan kepada pembangunan menyeluruh dengan usaha memperkukuh daya saing Mersing sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi, merancakkan aktiviti perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Seiring pelaksanaan JETP, Kerajaan Johor turut meluluskan peruntukan hampir RM1.5 juta bagi melaksanakan lapan inisiatif signifikan yang bakal memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Mersing.
Antara inisiatif tersebut ialah kerja-kerja membaik pulih gelanggang futsal di Taman Sri Mersing dan Felda Nitar 1, menaik taraf Bangunan KAF (Kami Anak FELDA) di Felda Tenggaroh Timur 1, membaik pulih gelanggang sepak takraw di Felda Tenggaroh 6, pemasangan lampu solar di Kampung Peta dan Kampung Tanjung Tuan, penggantian karpet Masjid Kampung Sri Lalang serta pembukaan semula unit hemodialisis di Hospital Mersing.
Pembukaan semula unit hemodialisis itu dijangka memudahkan pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan lebih dekat dengan kediaman mereka, sekali gus mengurangkan beban perjalanan serta meningkatkan keselesaan pesakit dan ahli keluarga.
Inisiatif berkenaan juga secara tidak langsung mencerminkan komitmen Kerajaan Johor untuk memastikan pembangunan yang dirancang menerusi JETP diterjemahkan kepada manfaat nyata yang dapat dirasai rakyat di setiap daerah.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan lawatan kerja ke daerah Mersing yang disusuli pembentangan mengenai perkembangan pelaksanaan JETP bagi memperincikan hala tuju pembangunan ekonomi setempat sebelum menghadiri Majlis Jalinan Rakyat bersama masyarakat di daerah berkenaan.
#JohorSafeZone
#JETP
#JohorHomeOfChampions
#MesmerisingMersing
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



