JOHOR GERAKKAN 96 PROGRAM GOTONG-ROYONG BENDUNG PENINGKATAN KES DENGGI

Mesyuarat penyelarasan tindakan membendung demam denggi dipengerusikan YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor bagi memperkukuh kesiapsiagaan semua agensi berkaitan dalam menangani peningkatan kes denggi di Johor. | Foto FB AH SOON
#IskandarPuteri – Sebanyak 96 program gotong-royong akan dilaksanakan di daerah Johor Bahru dan Kulai bermula pada pertengahan Ogos ini sebagai langkah segera bagi membendung peningkatan kes demam denggi di kedua-dua daerah berkenaan.
Inisiatif itu diputuskan menerusi mesyuarat penyelarasan melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pejabat Kesihatan Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan bagi menyelaras tindakan pengawalan kes denggi di negeri ini.
Dalam tempoh sama tahun lalu, Johor merekodkan 3,930 kes demam denggi, namun jumlah itu meningkat kepada 7,235 kes setakat awal Ogos tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 84.1 peratus.
Lebih membimbangkan, hampir 90 peratus daripada keseluruhan kes berkenaan telah direkodkan di daerah Johor Bahru dan Kulai yang kini menjadi kawasan tumpuan utama pelaksanaan langkah intervensi terbabit.
Program gotong-royong berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan berisiko tinggi, di samping memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan denggi.
Pada masa sama, orang ramai turut diseru supaya sentiasa memainkan peranan dengan memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih dan bebas daripada sebarang situasi air bertakung bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes.
Usaha bersepadu antara agensi kerajaan dan komuniti itu diharap dapat membantu mengekang penularan kes demam denggi serta mengurangkan jumlah kes kesihatan berkenaan di negeri ini.
Terdahulu, mesyuarat penyelarasan tindakan membendung demam denggi dipengerusikan YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor bagi memperkukuh kesiapsiagaan semua agensi berkaitan dalam menangani peningkatan kes denggi di Johor.
#JohorSafeZone
#JohorPerangiDenggi
#JohorBersih
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



