MASTURINA HADIAHKAN EMAS SULUNG BUAT TAEKWONDO JOHOR

Atlet taekwondo Johor, Masturina Mahadzir, 19, menghadiahkan pingat emas dalam acara Kyorugi Wanita Bawah 67kg di SUKMA XXII Selangor 2026 selepas menewaskan wakil Pulau Pinang 16-0, sekali gus memperbaiki pencapaian gangsa pada edisi terdahulu. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#ShahAlam – Kem taekwondo Johor menghadiahkan pingat emas menerusi Masturina Mahadzir dalam acara Kyorugi Wanita Bawah 67 Kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, sekali gus menyaksikan atlet berkenaan memperbaiki pencapaian gangsa yang diraih ketika edisi terdahulu.
Masturina, 19, dari Kluang berjaya merangkul emas selepas menampilkan aksi dominan untuk menewaskan Noor Wirdani Qistina Mohd Tarmizi, wakil Pulau Pinang dengan keputusan 16-0 pada aksi akhir di IDCC Ideal Convention Centre, hari ini.
Kejayaan berkenaan merupakan hasil persiapan rapi dan berterusan apabila Masturina kembali menjalani latihan sebaik sahaja SUKMA edisi terdahulu berakhir bagi memastikan dirinya berada pada tahap terbaik untuk menghadapi temasya kali ini.
Cabaran turut mengiringi persiapannya apabila perlu beralih ke kategori berat lebih tinggi dan berdepan lawan yang memiliki kelebihan fizikal, namun keadaan tersebut tidak mematahkan tekadnya untuk merealisasikan sasaran meraih emas.
Selain itu, Masturina turut membahagikan komitmen antara latihan dan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, dengan menjalani sesi latihan sebelah pagi sebelum menghadiri kelas dan kembali berlatih pada waktu malam.
Malah pencapaian membanggakan ini juga didorong sokongan padu ibu serta keluarga yang sentiasa membantu perjalanan kariernya sebagai atlet termasuk menguruskan keperluan latihan dan rawatan selain bimbingan berterusan daripada barisan kejurulatihan.
Selepas menakluk pentas SUKMA, Masturina kini mengintai cabaran lebih besar dengan meletakkan sasaran untuk mewakili negara pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) sebagai langkah seterusnya dalam perkembangan kariernya.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#Selangor2026
#KontinjenJohor
#Taekwondo
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



