RM5.4 JUTA PACU NAIK TARAF INFRASTRUKTUR MUAR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan lawatan kerja ke daerah Muar yang merangkumi pembentangan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Muar serta Majlis Jalinan Rakyat di Laman Bakau Parit Kassim. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.4 juta bagi pelaksanaan projek menaik taraf infrastruktur dan kemudahan rakyat di daerah Muar termasuk RM5 juta untuk penambahbaikan Kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) Parit Perupok.
Peruntukan RM5 juta ini meliputi pengecatan semula, pembaikan struktur bumbung, penggantian tangki air, penambahbaikan sistem mekanikal serta lain-lain kerja berkaitan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Majlis Perbandaran Muar, manakala keseluruhan projek disasarkan siap pada Mac 2027.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut meluluskan RM400,000 bagi sembilan projek menaik taraf infrastruktur asas di beberapa lokasi sekitar Muar.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi tiga projek menaik taraf sistem perparitan di sekitar Bentayan melibatkan Kampung Parit Tiram, Jalan Daud, Lorong Ahmad dan Lorong Serkam 1.
Sebanyak RM200,000 pula disediakan bagi membaik pulih pembetung, pemasangan lampu solar serta pembersihan dan penyelenggaraan sistem perparitan di sekitar Lenga dan Jambatan Sungai Tui.
Sementara baki RM100,000 diperuntukkan bagi membaiki jalan serta sistem saliran di Jalan Parit Samsu Darat dan Parit Kassim, Mukim Parit Jawa.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan lawatan kerja ke daerah Muar yang merangkumi pembentangan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Muar serta Majlis Jalinan Rakyat di Laman Bakau Parit Kassim.
#JohorSafeZone
#JETP
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



