KERAJAAN JOHOR PANDANG SERIUS ISU BENDERA TERBALIK

Berhubung isu pemasangan bendera secara terbalik yang tular baru-baru ini di Johor, pihak berkuasa telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara berkenaan. | Foto orang awam
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memandang serius isu pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor secara tidak betul serta akan terus memastikan perkara berkaitan penghormatan terhadap lambang kedaulatan negara diberi perhatian yang sewajarnya.
Berhubung isu pemasangan bendera secara terbalik yang tular baru-baru ini di Johor, pihak berkuasa telah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap perkara berkenaan.
Pemantauan terhadap perkembangan kes berkaitan juga akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang serta tindakan bersesuaian dapat diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran.
Sehubungan itu, pihak pengurusan sekolah, jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemilik premis swasta diseru supaya sentiasa mengambil perhatian terhadap tatacara pemasangan bendera dan memastikan Jalur Gemilang serta bendera Johor dapat dikibarkan dalam keadaan sempurna dan penuh rasa hormat.
Pada masa sama, seluruh rakyat Johor digalakkan untuk turut menyemarakkan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Johor di sekolah, premis kerajaan, tempat awam serta premis swasta sebagai tanda kecintaan kepada negara dan negeri.
Justeru, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan isu berkenaan kerana maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Sambutan Bulan Kebangsaan sewajarnya menjadi ruang untuk memperkukuh semangat patriotisme, menghormati lambang kebangsaan serta mempererat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dan Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#BulanKebangsaan
#JalurGemilang
#BenderaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



