JOHOR PERKASA PRODUK PELANCONGAN KOTA TINGGI

YB Tuan P. Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor bersama YB Tuan Chua Jian Boon, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor mengadakan lawatan kerja ke Kota Tinggi bagi melihat potensi pembangunan pelancongan di daerah berkenaan. | Foto FB YB Pannir Selvam
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh sektor pelancongan di daerah Kota Tinggi dengan menyusun dan memperkasa pelbagai produk serta tarikan sedia ada bagi menawarkan pengalaman lebih menarik kepada pelancong.
Daerah Kota Tinggi sememangnya mempunyai kekuatan pelancongan tersendiri yang merangkumi sejarah dan warisan Kesultanan Johor, keindahan alam semula jadi, sungai, pantai serta ekopelancongan termasuk destinasi ikonik seperti Desaru dan Pengerang.
Pendekatan itu bagi menghubungkan pelbagai tarikan sebagai satu pengalaman pelancongan yang lebih menyeluruh, sekali gus menggalakkan pelancong untuk tinggal lebih lama, meneroka lebih banyak lokasi dan menikmati produk yang ditawarkan oleh masyarakat setempat.
Potensi pembangunan Pusat Informasi dan Pelancongan Kota Tinggi, Muzium Kota Tinggi dan Rivercruise Kota Tinggi turut diberi perhatian termasuk cadangan penambahbaikan infrastruktur serta pengisian Muzium Kota Tinggi bagi tahun 2027.
Sejarah Kota Tinggi dan Sungai Johor juga akan diketengahkan menerusi pendekatan yang lebih menarik khususnya bagi meningkatkan minat generasi muda untuk mengenali sejarah serta warisan negeri ini.
Kerjasama Pejabat Daerah Kota Tinggi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Santuari Gajah Johor serta jabatan dan agensi berkaitan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan sektor pelancongan daerah ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Usaha tersebut diharap dapat memperkukuh kedudukan Kota Tinggi sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat selari dengan aspirasi Maju Johor 2030.
Terdahulu, YB Tuan P. Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor bersama YB Tuan Chua Jian Boon, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor mengadakan lawatan kerja ke Kota Tinggi bagi melihat potensi pembangunan pelancongan di daerah berkenaan.
#JohorSafeZone
#KotaTinggi
#PelanconganJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


