JOHOR TARIK POTENSI PELABURAN LEBIH RM5 BILION DI SINGAPURA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengetuai delegasi Kerajaan Negeri dalam siri pertemuan bersama pelabur sempena lawatan kerja di Singapura. | Foto MEDKOM
#IskandarPuteri – Johor berjaya menarik potensi pelaburan melebihi RM5 bilion menerusi siri pertemuan bersama pelabur di Singapura sekali gus mencerminkan keyakinan semakin kukuh terhadap negeri ini sebagai destinasi pelaburan dan pusat pertumbuhan baharu di rantau ini.
Potensi pelaburan ini melibatkan sektor strategik dan berteknologi tinggi termasuk teknologi optik berkelajuan tinggi, teknologi kesihatan serta peralatan pembuatan semikonduktor.
Pelaburan berkenaan bukan sahaja berpotensi merancakkan ekonomi negeri malah membawa masuk teknologi dan kepakaran serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu di Johor.
Pada masa sama, ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadi antara perhatian utama pelabur bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi yang semakin berkembang.
Justeru, pembangunan bakat akan terus diperkasa menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dengan memastikan latihan dan kemahiran diselaraskan mengikut keperluan industri supaya anak Johor bersedia mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan.
Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) pula akan terus memudah cara dan mempercepatkan urusan pelaburan bagi memastikan proses berkaitan dilaksanakan dengan lebih cekap.
Kerajaan Negeri berharap potensi pelaburan ini dapat direalisasikan bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan peluang kepada rakyat selain memastikan setiap pelaburan memberikan manfaat kepada negeri serta Bangsa Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengetuai delegasi Kerajaan Negeri dalam siri pertemuan bersama pelabur sempena lawatan kerja di Singapura.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


