KELAB POLO DIRAJA JOHOR ANJUR KEJOHANAN BERTARAF ANTARABANGSA

Kelab Polo Diraja Johor bakal menganjurkan Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026, kejohanan polo antarabangsa berstatus 22-gol yang menghimpunkan lima pasukan bertaraf dunia di Johor bermula dari 1 hingga 6 September 2026. | Foto Royal Johor Polo Club
#IskandarPuteri – Kelab Polo Diraja Johor bakal menganjurkan Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026, kejohanan polo antarabangsa berstatus 22-gol yang menghimpunkan lima pasukan bertaraf dunia di Johor bermula dari 1 hingga 6 September 2026.
Kejohanan antarabangsa cetusan ilham DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ini akan menjadi kejohanan polo terbesar serta bertaraf pertandingan tertinggi yang pernah dianjurkan di Malaysia.
Penganjuran kejohanan ini juga digerakkan menerusi visi bersama DYAM Tunku Mahkota Ismail dengan ikon polo dunia, Polito Pieres bagi meletakkan Johor sebagai antara destinasi utama dalam litar sukan polo di peringkat antarabangsa.
Kejohanan yang berlangsung di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi itu merupakan kejohanan polo berstatus 22-gol terbesar, selain turut menampilkan pemain bertaraf antarabangsa termasuk beberapa juara pertandingan Terbuka Argentina.
Dalam penganjuran ini, Johor turut menyediakan keseluruhan kuda yang akan digunakan oleh setiap pasukan antarabangsa sepanjang kejohanan, sekali gus memastikan keperluan pertandingan dapat dipenuhi pada tahap yang tinggi.
Berteraskan tema “Legacy In Motion”, kejohanan ini juga turut mengangkat warisan Diraja Johor menerusi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa, selain menjadi platform terbaik dalam memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan sukan berkelas dunia.
Kejohanan ini akan turut diserikan dengan Malam Gala dan Perlawanan Akhir yang dilangsungkan secara eksklusif kepada jemputan khas, manakala aksi di padang akan disiarkan secara langsung menerusi PoloLine.TV untuk tontonan peminat polo di seluruh dunia, sekali gus memperkenalkan kehebatan sukan polo Johor kepada khalayak antarabangsa.
Penganjuran tersebut secara tidak langsung turut memperkukuh peranan Kelab Polo Diraja Johor yang mempunyai sejarah lebih seabad dan merupakan antara kelab polo tertua serta berprestij di Asia dalam mengangkat warisan Diraja Johor menerusi platform sukan antarabangsa.
#JohorSafeZone
#JohorPolo
#JSCPT2026
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


