KERJA MITIGASI BANJIR DI SEKITAR JOHOR BAHRU DIPERKUKUH

Di Tasik Merdeka, kerja-kerja mendalamkan kolam tadahan telah dimulakan bagi meningkatkan kapasiti takungan air, dengan kemajuan sebanyak 20 peratus setakat 4 Oktober lalu dan disasarkan siap pada Disember 2026, termasuk pemeriksaan saluran masuk dan keluar serta keadaan mendapan di kawasan berkenaan. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Usaha meningkatkan keupayaan sistem saliran dan takungan air di sekitar Johor Bahru akan terus diberi perhatian menerusi kerja penambahbaikan di Tasik Merdeka, Jalan Kolam Ayer dan Kampung Mohd Amin.
Di Tasik Merdeka, kerja-kerja mendalamkan kolam tadahan telah dimulakan bagi meningkatkan kapasiti takungan air, dengan kemajuan sebanyak 20 peratus setakat 4 Oktober lalu dan disasarkan siap pada Disember 2026, termasuk pemeriksaan saluran masuk dan keluar serta keadaan mendapan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, di Jalan Kolam Ayer berhadapan Maktab Sultan Abu Bakar, kerja-kerja pembersihan perangkap air dan pembentung lintasan telah disiapkan pada 3 Oktober lalu, manakala cadangan penambahan pembentung jenis kekotak bersaiz 1,200 milimeter (mm) serta penyelenggaraan parit tepi jalan di bawah tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut diberi perhatian serius.
Cadangan berkenaan mengambil kira keupayaan pembentung sedia ada yang terhad ketika menerima jumlah air larian yang tinggi, selain aspek reka bentuk, utiliti dan keselamatan jalan bagi memastikan aliran air lebih lancar serta laluan berkenaan selamat digunakan ketika hujan lebat.
Di Kampung Mohd Amin pula, kerja-kerja mendalamkan kolam takungan banjir serta membaiki tembok di jajaran Sungai Chat telah dimulakan pada 3 Oktober lalu dan disasarkan siap pada 17 Oktober 2026, dengan kemajuan keseluruhan sebanyak 20 peratus setakat 4 Oktober.
Kerja-kerja mendalamkan kolam mendapan turut dilaksanakan dan disasarkan siap pada 10 Oktober ini, manakala cadangan pembinaan kolam tambahan di tanah rizab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersebelahan kolam sedia ada turut diberi perhatian bagi menambah kapasiti takungan.
Penyelarasan antara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), agensi teknikal dan pihak berkaitan akan terus diperkukuh bagi memastikan kapasiti takungan, keadaan sungai serta laluan pelepasan air dapat ditambah baik secara menyeluruh, dengan perkembangan kerja berkenaan akan dipantau menerusi Taskforce Banjir Kilat Johor Bahru secara berkala.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, mengadakan lawatan ke Tasik Merdeka, Kampung Mohd Amin dan Jalan Kolam Ayer bagi meninjau perkembangan kerja mitigasi banjir di ketiga-tiga lokasi berkenaan, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#BanjirJohor
#JohorBahru
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


