JOHOR TUBUH JDT CYCLING TEAM

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor mengadakan perbincangan bersama Muhammad Shah Firdaus, koordinator pasukan serta YBhg Encik Hasnul Atmam Othman, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) berkaitan pelaksanaan dan hala tuju penubuhan JDT Cycling Team. | Foto FB Hairi Mad Shah – HMS
#IskandarPuteri – Industri sukan di Johor bakal disemarakkan lagi dan kali ini penubuhan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Cycling Team dijangka akan membuka lembaran baharu dalam pembangunan sukan berbasikal Johor, selain ia juga mampu menjadi platform terbaik dalam mencungkil serta melahirkan lebih ramai bakat muda dalam arena sukan berkenaan.
Pasukan JDT Cycling Team ini dijangka akan dilancarkan pada Oktober ini dengan ia akan berada di bawah naungan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor serta turut membabitkan penglibatan Ikon Sukan Johor dan jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus sebagai antara tonggak utama pasukan.
Penubuhan JDT Cycling Team ini juga turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri menerusi peruntukan dalam Belanjawan Johor 2026 bagi memperkukuh pembangunan sukan berbasikal negeri secara lebih tersusun dan berterusan.
Inisiatif ini akan digerakkan selari dengan agenda Johor Sports Nation dalam membangunkan ekosistem sukan yang lengkap daripada peringkat akar umbi hingga ke tahap elit, termasuk menerusi program XTIF Johor bagi mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu secara sistematik.
Pendekatan ini diharap dapat memastikan pembangunan atlet berbasikal tidak lagi bersifat bermusim, sebaliknya ia akan dilaksanakan secara berterusan dengan laluan yang jelas untuk memastikan setiap bakat muda dapat berkembang hingga ke tahap tertinggi.
JDT Cycling Team juga dijangka menjadi wadah untuk membawa identiti JDT ke cabang sukan yang lebih luas, selain mengangkat nama Johor dan Malaysia dalam arena sukan berbasikal antarabangsa.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor mengadakan perbincangan bersama Muhammad Shah Firdaus, koordinator pasukan serta YBhg Encik Hasnul Atmam Othman, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) berkaitan pelaksanaan dan hala tuju penubuhan JDT Cycling Team.
#JohorSafeZone
#SukanMDJ
#JDTCyclingTeam
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



