KEDIP MENGHIDUPKAN KEMBALI ‘IRAMA WARISAN, JIWA JOHOR’
Oleh: Suhana Ariffin

Foto Yayasan Warisan Johor
#IskandarPuteri – Penganjuran sulung Keroncong di Iskandar Puteri (KEDIP) menjadi antara usaha terbaik dalam menghidupkan kembali seni muzik keroncong sebagai warisan seni yang dekat di hati masyarakat, sekali gus membawa kembali irama senandung berkenaan yang penuh bersejarah dan nostalagia.
Program yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity (ESC) semalam melibatkan kolaborasi antara ESC, 36 Five X serta Yayasan Warisan Johor (YWJ) dalam menggabungkan persembahan seni warisan serta menyediakan ruang dan pengalaman yang unik khususnya buat peminat irama berkenaan.
Program KEDIP ini juga bukan sekadar ruangan acara semata-mata, malah ia juga berupaya menjadi titik pertemuan antara muzik, cerita dan manusia itu sendiri.
Mengangkat tema ‘Irama Warisan, Jiwa Johor’, program KEDIP ini dirancang sebagai sebuah program bersiri yang akan berlangsung secara berkala dengan siri berikutnya bakal diadakan pada 21 Oktober 2026 dan ia juga terbuka kepada orang awam, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk mendengar, mengenali pemuzik tempatan dan memahami cerita di sebalik lagu-lagu bergendre keroncong.
Melalui platform berkenaan, KEDIP juga akan membawa kandungan warisan keluar daripada ruang persembahan formal dan mendekatkannya kepada masyarakat.
Menerusi pendekatan secara berkala ini, ia secara tidak langsung membolehkan cerita, tokoh, lagu dan pengetahuan berkaitan irama keroncong ini dapat disampaikan secara berterusan agar seni warisan ini tidak terus dilupakan khususnya dalam kalangan golongan muda masa kini.
Dalam acara pembukaan tersebut, KEDIP turut membuka ruang kepada penggiat seni dan kumpulan keroncong Johor iaitu Orkestra Darul Takzim, Keroncong Tunjuk Langit, Keroncong Malam Jumaat dan Keroncong Terang Bulan untuk memperkukuh jaringan serta meneroka kerjasama yang dapat membantu muzik keroncong terus berkembang luas di Johor.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran YDH Datin Hajah Siti Azizah Omar, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Johor; YBhg. Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, Pengarah Tourism Johor dan YBrs. Encik Nor Syazlan Abd Razak, Pengarah YWJ.
#JohorSafeZone
#YWJ
#ESC
#TourismJohor
#IramaWarisanJiwaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


