PENGURUSAN PENGINAPAN PEKERJA INDUSTRI JOHOR DIPERKEMAS

Kerajaan Negeri menuntut komitmen pengendali penginapan dan majikan dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan yang telah ditetapkan, menjaga kebersihan serta penyelenggaraan kemudahan, mengutamakan keselamatan penghuni dan mengekalkan hubungan baik dengan komuniti setempat. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Pengurusan penginapan pekerja industri di Johor perlu dilaksanakan secara teratur dengan memberi perhatian kepada kebajikan penghuni, pematuhan peraturan dan keharmonian komuniti setempat, seiring dengan perkembangan sektor perindustrian di negeri ini.
Perkara itu diberi penekanan selepas pembukaan rasmi kemudahan I-STAY CLQ @ i-TechValley di Iskandar Puteri, yang merupakan tapak penginapan pekerja berpusat keempat kendalian I-Stay Management di Johor.
Kerajaan Negeri menuntut komitmen pengendali penginapan dan majikan dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan yang telah ditetapkan, menjaga kebersihan serta penyelenggaraan kemudahan, mengutamakan keselamatan penghuni dan mengekalkan hubungan baik dengan komuniti setempat.
Kerjasama antara Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), agensi berkaitan, pengendali penginapan dan majikan penting bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat diurus dengan sebaik mungkin serta menyokong perkembangan industri yang mengambil kira kebajikan pekerja dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Terletak di kawasan perindustrian i-TechValley, Gelang Patah, I-STAY CLQ @ i-TechValley terdiri daripada dua blok bangunan yang mampu menempatkan seramai 2,688 penghuni, sekali gus menyokong penempatan pekerja berhampiran dengan kawasan industri dan majikan masing-masing.
Selain itu, penginapan berkenaan dilengkapi sistem pengurusan digital bagi urusan operasi, penyelenggaraan, pengurusan bungkusan dan tempahan, selain sistem pengurusan asrama serta pengecaman wajah bagi menyokong pengurusan penghuni yang lebih sistematik.
Kemudahan lain turut disediakan, termasuk bilik rawatan, bilik kuarantin, trek joging dalaman, kawasan rekreasi, kedai mini dan ruang hijau bagi memenuhi keperluan harian serta meningkatkan keselesaan penghuni.
Kemudahan asas seperti tandas, ruang bersama dan sistem saliran juga perlu diselenggara secara berterusan, manakala sebarang kerosakan serta aduan hendaklah ditangani segera bagi mengelakkan gangguan kepada penghuni dan penduduk sekitar.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, menyempurnakan majlis pelancaran I-STAY CLQ @ i-TechValley baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#ISTAYCLQ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


