JOHOR PERKETAT SOP PEPERIKSAAN HADAPI SITUASI JEREBU

JPBN Johor turut mengambil maklum bahawa tindakan menangani jerebu perlu dilaksanakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan media Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertarikh 14 Oktober 2026.
#IskandarPuteri – Semua peperiksaan dan pentaksiran di Johor akan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan kelancaran urusan peperiksaan serta keselamatan dan kesihatan calon sepanjang situasi jerebu ini.
Ketetapan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor pada Rabu, selaras dengan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 1 Tahun 2005 berkaitan Persediaan Menghadapi Jerebu yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Topeng) serta arahan semasa daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam pada itu, SOP Pengurusan Bencana Jerebu di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bersama-sama agensi berkaitan telah disediakan berdasarkan garis panduan, surat siaran dan ketetapan KPM yang sedang berkuat kuasa.
Penyediaan SOP berkenaan bertujuan memastikan warga pendidikan, ibu bapa dan penjaga memahami tatacara yang ditetapkan serta bersedia menghadapi pengoperasian semula institusi pendidikan apabila keadaan mengizinkan.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Johor turut meneruskan pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), keadaan cuaca serta arah tiupan angin yang membawa asap jerebu ke ruang udara Johor.
Dari aspek kesihatan, orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit jantung atau penyakit pernafasan kronik, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti fizikal lasak di luar rumah dan mengehadkan tempoh berada di kawasan terbuka ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
Orang ramai juga disarankan menggunakan pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar, memastikan udara di dalam bangunan kekal bersih, minum air kosong secukupnya serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti batuk, selesema, sesak nafas atau iritasi mata, khususnya jika gejala bertambah teruk.
JPBN Johor turut mengambil maklum bahawa tindakan menangani jerebu perlu dilaksanakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan media Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertarikh 14 Oktober 2026.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#PendidikanJohor
#KesihatanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


