AHLI DEWAN NEGERI JOHOR SIMPANG JERAM BAHARU DIJANGKA ANGKAT SUMPAH ESOK


Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar akan berlangsung esok.

 

Berakhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram pada 9 September lalu, rakyat Johor selaku pengundi di kawasan ini sudah membuat keputusan memilih Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman sebagai individu bagi mewakili suara mereka di Dewan Negeri Johor.

 

Dengan meraih majoriti sebanyak 3,514 undi, Nazri dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Simpang Jeram yang baharu pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, esok.

 

Upacara mengangkat sumpah ini dijangka berlangsung sebelum pemasyhuran daripada YB Datuk Dr. Haji Mohd Puad Zarkashi, Speaker Dewan Negeri Johor dan kemudiannya akan disusuli dengan urusan perkara-perkara mesyuarat seperti yang telah ditetapkan.

 

Seperti sebelum ini ketika Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Simpang Jeram diwakili oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, kedudukan Nazri selaku wakil rakyat yang baharu kekal berada dalam Blok Pengimbang Johor diketuai oleh Andrew Chen Kah Eng, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Stulang.

 

Manakala, kedudukan YB Amira Aisya Abd. Aziz, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Puteri Wangsa dijangka mengalami perubahan susulan ketetapan partinya, MUDA menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, yang turut disahkan dalam surat pemakluman Ketua Pengimbang Johor.

 

Meskipun begitu, keseluruhan Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor sewajarnya memanfaatkan kedudukan masing-masing tidak kira berada di Blok Kerajaan, Blok Pengimbang mahupun Blok ‘Kuasa Ketiga’ dalam Dewan Negeri Johor yang mulia, seterusnya menterjemahkan semangat Bangsa Johor berpekerti tinggi.

 

Fungsi Dewan Negeri untuk membahas, menggubal dan menguatkuasakan undang-undang negeri selain menjadi forum membahaskan perkara berkaitan dasar Kerajaan berserta pelaksanaannya dan perihal rakyat, perlu difahami serta diberikan keutamaan agar institusi dan kedaulatan perlembagaan negeri terus terpelihara.

 

Kemuliaan Dewan Negeri wajar dipertahankan dengan penuh tekad oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor, sekali gus bersama-sama mendukung aspirasi Kerajaan Negeri pimpinan YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam memacu Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor