DATO’ ZAHARI SARIP ANGKAT SUMPAH SPEAKER DEWAN NEGERI JOHOR KE-16

YB Dato’ Zahari Sarip, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Buloh Kasap mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Negeri Johor bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – YB Dato’ Zahari Sarip, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, pagi ini mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Negeri Johor pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Pencalonan beliau dikemukakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap ADUN Machap dan ia disokong oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merangkap ADUN Bukit Permai.
Dato’ Zahari mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan, perkhidmatan kerajaan dan legislatif apabila pernah berkhidmat sebagai guru, pegawai kepada Menteri Kesihatan Malaysia serta Ahli Dewan Negara dari tahun 2017 hingga 2020.
Beliau juga pernah menggalas amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor sepanjang penggal Dewan Negeri Johor Ke-15 yang lalu.
Dalam ucapan pemasyhurannya, Speaker Dewan Negeri Johor itu merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar dan YB Ahli Dewan Negeri atas kepercayaan yang diberikan, selain menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu kehormatan dan amanah besar.
Beliau turut beriltizam akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Speaker dengan sebaik-baiknya serta merakamkan penghargaan kepada pimpinan Dewan Negeri Johor bagi penggal terdahulu atas segala jasa dan sumbangan.
#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohorKe16
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



