LEBIH RM2.5 JUTA BANTUAN PENDIDIKAN ANAK JOHOR KE TIMUR TENGAH

Pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bersama MAINJ dalam memperluas akses pendidikan sekali gus memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak Johor untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk di luar negara. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menyediakan bantuan pendidikan bernilai lebih RM2.5 juta bagi menyokong 88 anak Johor yang dijadualkan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah bagi sesi 2026.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 79 pelajar menerima tajaan dermasiswa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) membabitkan 63 pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Mesir dan 16 pelajar ke Jordan.
Bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke Mesir, MAINJ menyediakan dermasiswa sebanyak RM9,000 setahun sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun, menjadikan jumlah tajaan sehingga RM36,000 bagi setiap pelajar.
Selain dermasiswa, setiap pelajar yang bakal berangkat ke Timur Tengah juga menerima sumbangan tambang dan wang persediaan berjumlah RM3,500 seorang bagi membantu meringankan beban kewangan serta melancarkan persiapan sebelum memulakan pengajian di luar negara.
Kemudahan pembiayaan menerusi Skim Pinjaman Pelajaran Qard Hassan turut disediakan dengan kadar sehingga RM30,000 setahun bagi tempoh lima tahun, sekali gus membolehkan pelajar yang layak menerima pembiayaan sehingga RM150,000 sepanjang tempoh pengajian.
Komitmen terhadap pembangunan pendidikan anak Johor terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif termasuk Skim Simpan SSPN Plus dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Skim Bantuan Dermasiswa Mesir dan Jordan, Skim Pinjaman Pelajaran Qard Hassan, Sumbangan Tambang Pelajar Luar Negara serta Skim Bantuan Pendaftaran IPT Peringkat Ijazah.
Pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bersama MAINJ dalam memperluas akses pendidikan sekali gus memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak Johor untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk di luar negara.
Kerajaan Negeri berharap setiap penerima memanfaatkan peluang dan bantuan yang disediakan dengan sebaik-baiknya serta kembali sebagai generasi berilmu, berkemahiran dan berakhlak yang mampu menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan Johor pada masa hadapan.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor merasmikan Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan kepada Pelajar ke Luar Negara Tahun 2026.
#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#MAINJ
#AnakJohor
#PelajarJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


