ELAK PEMBAKARAN TERBUKA, CUACA PANAS TINGKAT RISIKO KEBAKARAN

Kerajaan Negeri bersama JBPM dan agensi berkaitan akan terus memperkukuh pemantauan serta tindakan pencegahan, manakala orang ramai diminta melaporkan segera sebarang kejadian kebakaran atau kepulan asap mencurigakan menerusi talian kecemasan 999 atau balai bomba berhampiran. | Foto JBPM Negeri Johor
#IskandarPuteri – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka secara sewenang-wenangnya terutama dalam keadaan cuaca panas, kering dan berangin ketika ini yang boleh menyebabkan api merebak dengan pantas sehingga mengancam keselamatan, harta benda serta alam sekitar.
Nasihat tersebut disampaikan YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor susulan kejadian kebakaran tanah gambut di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove, Pengerang yang masih dalam operasi pemadaman dan kawalan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor.
Kebakaran yang dilaporkan pada 24 Ogos lalu melibatkan kawasan seluas 51.4 hektar, dengan operasi setakat kini berjaya memadamkan kira-kira 25 hektar atau 48.6 peratus daripada keseluruhan kawasan terbabit.
Operasi berkenaan melibatkan empat balai bomba iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana, Punggai, Penawar dan Sungai Rengit dengan kekuatan empat pegawai kanan serta 25 anggota bomba, selain dua jentera pemadam, 11 tangki air dan empat kenderaan utiliti.
Bantuan turut digerakkan bersama agensi berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Ranhill SAJ, selain penggunaan dua jentera pengorek serta sembilan tangki air Ranhill SAJ bagi membantu operasi pemadaman.
Operasi berdepan cabaran cuaca panas, kering dan angin kencang yang mempercepatkan penyebaran bara api dalam lapisan gambut, di samping laluan sukar serta sumber air yang terhad, namun usaha pemadaman dan kawalan terus dilaksanakan selama 24 jam termasuk pemantauan menggunakan dron.
Setakat ini, 10 hektar daripada 35.6 hektar di Sektor A berjaya dipadamkan, manakala 15 hektar daripada 15.8 hektar di Sektor B telah berjaya dipadamkan, dengan pasukan operasi terus menjalankan kerja pemadaman dan kawalan di kawasan terjejas.
Orang ramai khususnya pengguna Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove turut dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati berikutan jarak penglihatan yang boleh terjejas akibat kepulan asap dari kawasan kebakaran.
Kerajaan Negeri bersama JBPM dan agensi berkaitan akan terus memperkukuh pemantauan serta tindakan pencegahan, manakala orang ramai diminta melaporkan segera sebarang kejadian kebakaran atau kepulan asap mencurigakan menerusi talian kecemasan 999 atau balai bomba berhampiran.
#JohorSafeZone
#ElakPembakaranTerbuka
#ElNino
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


