IKHTIAR KERAJAAN NEGERI DEMI RAKYAT


Tambak Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Menterjemahkan sebuah pentadbiran bersifat pro-rakyat, Kerajaan Negeri terus komited menyelesaikan kesesakan di Tambak Johor menerusi pelbagai tindakan yang ‘hands-on’ agar isu legasi menghimpit kira-kira 300,000 pengembara dari Johor mahupun Singapura berulang alik setiap hari dapat dikurangkan.

 

Komitmen menyurai aliran trafik di pintu sempadan antara yang tersibuk di dunia ini bukanlah sekadar retorik, sebaliknya diterjemah melalui pendekatan turun padang oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang menelusuri suasana sebenar pengembara seawal jam 4 pagi.

 

Malah ia disusuli dengan sesi libat urus bersama pelbagai jabatan dan agensi di peringkat negeri seterusnya di bawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk mencari mekanisme terbaik menyelesaikan keluhan pengembara terutama Bangsa Johor yang berhadapan cabaran di Tambak Johor setiap hari.

 

Memuji komitmen tersebut, Dr. Safizahanin Mokhtar, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melihat Kerajaan Negeri memberikan komitmen penuh demi keselesaan pengembara dan melancarkan pergerakan barangan dan perkhidmatan di sebelah Johor.

 

Hal tersebut dapat dilihat dengan pengaktifan laluan kontra di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) khusus kepada laluan pejalan kaki serta pengangkutan awam selain meletakkan polis bantuan bagi melancarkan kaunter pemeriksaan.

 

Sebagai Ketua Projek Kajian Perancangan Masa Hadapan bagi Mengurangkan Kesesakan dan Meningkatkan Keselamatan di CIQ BSI dan KSAB, beliau menyifatkan kewujudan Tambak Johor mendorong kepada pembukaan kawasan ekonomi baharu yang berupaya menarik pelabur domestik dan antarabangsa.

 

Struktur binaan ikonik ini juga merancakkan lagi sektor ekonomi, pelancongan, sosial dan budaya di Negeri Johor seterusnya disokong dengan sistem pendigitalan kod QR di CIQ BSI dan KSAB yang telah melancarkan aliran keluar dan masuk apabila mengurangkan tempoh masa pelepasan.

 

Selain itu, Dr. Safizahanin turut mencadangkan agar penyelenggaraan berkala ke atas Tambak Johor dapat dilaksanakan untuk memastikan struktur dan jangka hayat binaan sentiasa terjaga selain penggunaan teknologi pintar bagi memantau dan menyusun pergerakan lalu lintas secara ‘real-time’.

 

Dengan pengoperasian Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada tahun 2027, beliau berkeyakinan mod pengangkutan baharu ini yang berkapasiti tinggi dan efisien mampu mengurangkan pergerakan kenderaan persendirian seterusnya mengatasi kesesakan di Tambak Johor.

 

#100TahunTambakJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor