INSPIRASI IBU PEMANGKIN AIRIS RANGKUL EMAS BOLING PADANG

Dorongan ibu menjadi pembakar semangat buat Nur Airis Safiyah Abdullah untuk menghadiahkan pingat emas kepada Kontinjen Johor menerusi acara perseorangan wanita boling padang pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
#Klang – Dorongan ibu menjadi pembakar semangat buat Nur Airis Safiyah Abdullah untuk menghadiahkan pingat emas kepada Kontinjen Johor menerusi acara perseorangan wanita boling padang pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Atlet berusia 17 tahun ini menewaskan Puteri Nur Annissa Sofea Muhamad Shukor, wakil Kedah, 21-10, pada aksi akhir di Bayuemas Indoor Bowls Stadium, hari ini.
Dalam penampilan sulungnya di temasya sukan dwitahunan ini, Airis mempamerkan aksi tenang dan konsisten sepanjang permainan sebelum menamatkan saingan untuk mengesahkan pingat emas milik Johor.
Kejayaan ini cukup bermakna buat Airis yang mendedikasikan kemenangan berkenaan kepada ibunya, insan yang mendorongnya menceburi boling padang sejak Tingkatan Satu selepas sebelum itu aktif dalam sukan taekwondo.
Sejurus tamat perlawanan akhir, Airis terus mendapatkan ibunya yang hadir memberikan sokongan sebelum menerima ucapan tahniah dan berkongsi detik manis kejayaan bersama insan tersayang itu.
Airis dijadual kembali turun beraksi bersama Jahrana Syahmina Aina Jamrul Azhar dalam acara berpasangan wanita pada Khamis ini bagi meneruskan cabaran skuad boling padang Johor memburu satu lagi pingat emas.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#Selangor2026
#KontinjenJohor
#BolingPadang
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


