TIGA CIC BUKTI KOMITMEN JOHOR LINDUNGI KANAK-KANAK

Usaha berterusan berkenaan mencerminkan keutamaan Kerajaan Negeri dalam memastikan aspek keselamatan, kesejahteraan serta perlindungan kanak-kanak sentiasa diberi perhatian khususnya ketika berdepan situasi yang memerlukan pendekatan kepekaan dan berempati. | Foto FB Hasrunizah Hassan
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkukuh sistem perlindungan dan kebajikan kanak-kanak di Johor menerusi pengoperasian tiga Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) bagi memastikan proses rakaman keterangan dilaksanakan secara profesional dalam persekitaran selamat serta mesra golongan berkenaan.
Komitmen tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi CIC Muar, CIC Iskandar Puteri serta CIC Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang berperanan penting menyokong proses siasatan dan pendakwaan kes melibatkan kanak-kanak di negeri ini.
Bagi CIC Muar, penyerahan kunci oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor kepada Polis Johor telah dilaksanakan pada 16 April lalu, manakala penyediaan kelengkapan serta fasiliti tambahan kini dipergiat bagi memastikan pusat berkenaan dapat beroperasi dengan lebih berkesan.
Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Menteri Besar Johor telah menyalurkan peruntukan RM50,000 bagi pembelian peralatan diperlukan di CIC Iskandar Puteri yang mula beroperasi pada 2 April 2024 dan kini dilengkapi kemudahan dalam keadaan baik.
Selain itu, CIC IPK Johor yang merupakan pusat pertama di negeri ini, dibangunkan dengan peruntukan RM360,000 oleh Kerajaan Negeri sekali gus menjadi antara komponen penting dalam memperkukuh sokongan kepada kanak-kanak sepanjang proses perundangan.
Usaha berterusan berkenaan mencerminkan keutamaan Kerajaan Negeri dalam memastikan aspek keselamatan, kesejahteraan serta perlindungan kanak-kanak sentiasa diberi perhatian khususnya ketika berdepan situasi yang memerlukan pendekatan kepekaan dan berempati.
Terdahulu, YB Puan Hajah Hasrunizah Haji Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor mengadakan lawatan ke CIC Muar. Hadir sama, YB Puan Chan San San, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor serta YB Dato’ Ashari Md Sarip, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Maharani.
#JohorSafeZone
#CIC
#LindungiKanak-Kanak
#SayangiKanak-Kanak
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


