JKNJ SERU PENDUDUK JALANI SARINGAN KESIHATAN, ELAK JANGKITAN TIBI

Kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor

 

#IskandarPuteri – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menyeru penduduk yang mengalami gejala batuk berpanjangan atau mempunyai sejarah kontak rapat dengan pesakit Tuberkulosis (Tibi) diminta supaya segera menjalani saringan kesihatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

 

Saranan itu dikeluarkan selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi mengesahkan satu kejadian wabak Tibi berlaku di sebuah lokaliti di daerah berkenaan pada 25 Januari lalu yang mendapati sebanyak 33 kes Tibi telah dikenal pasti daripada 804 orang kontak rapat yang telah disaring hasil pengesanan kes secara aktif sehingga semalam.

 

Kesemua pesakit yang dikesan telah menerima rawatan sewajarnya dan kini sedang menjalani pemantauan rapi di fasiliti kesihatan berhampiran, selain memaklumkan satu kematian telah dilaporkan melibatkan salah seorang pesakit yang kemudiannya disahkan bukan berpunca daripada penyakit Tibi berkenaan.

 

Penyakit Tibi atau batuk kering berpunca daripada jangkitan bakteria ‘Mycobacterium tuberculosis’ yang merebak melalui udara, terutama kepada kontak rapat dengan gejala seperti batuk berpanjangan, penurunan berat badan yang ketara, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam serta batuk berdarah.

 

JKNJ menegaskan bahawa penyakit Tibi boleh dicegah dan disembuhkan sepenuhnya melalui rawatan yang berkesan dengan tempoh rawatan minimum selama enam bulan, sekiranya ia dapat dikesan lebih awal dan rawatan susulan dipatuhi sepenuhnya.

 

#JohorSafeZone
#JKNJ
#TIBI
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor