JMR KEKAL BARISAN PEMANDU BERTARAF DUNIA UNTUK SUZUKA 1000KM

Chevrolet Corvette Z06 GT3.R akan beraksi dalam kategori Pro dengan dikendalikan tiga pemandu berpengalaman selepas menghadiahkan podium ketiga kepada Johor Motorsports Racing (JMR) pada penampilan sulung pasukan itu tahun lalu. | Foto JOHOR Racing
#IskandarPuteri – Johor Motorsports Racing (JMR) sekali lagi mengekalkan khidmat tiga pemandu bertaraf dunia, Scott McLaughlin, Nicky Catsburg dan Alexander Sims bagi mengharungi perlumbaan ketahanan Suzuka 1000 kilometer (KM) di Jepun pada September ini.
Ketiga-tiga pemandu berpengalaman itu akan mengemudi jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R dalam kategori Pro selepas membantu JMR meraih podium tempat ketiga pada penampilan sulung pasukan itu dalam kategori sama pada perlumbaan tahun lalu.
Berbekalkan pengalaman lebih luas bersama jentera Corvette, termasuk kejayaan muncul juara kategori Pro-Am pada perlumbaan CrowdStrike 24 Hours of Spa 2026, JMR kini meletakkan sasaran lebih tinggi untuk memburu kemenangan sulung di Suzuka 1000KM.
Dalam kategori Pro-Am pula, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor akan bergandingan bersama pemandu profesional Ben Green dengan sasaran memperbaiki pencapaian podium kategori yang diraih pada edisi 2025.
Bagi YAM Tunku Panglima Johor, fokus utama JMR adalah untuk terus berkembang sebagai sebuah pasukan, selain memperkukuh prestasi semasa selepas kejayaan di Le Mans dan kemenangan kategori Pro-Am pada CrowdStrike 24 Hours of Spa, selain optimis gabungan pengalaman dan kepantasan barisan pemandu profesional mampu membantu JMR mencatat keputusan yang lebih cemerlang di Suzuka, kelak.
Nada sama turut disuarakan Scott McLaughlin, Nicky Catsburg dan Alexander Sims terhadap kemampuan JMR untuk sekali lagi bersaing merebut podium, malah kali ini mereka juga berpeluang memburu kemenangan berdasarkan prestasi kompetitif yang dipamerkan pasukan sepanjang musim ini.
Sejak menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R, JMR telah meraih empat kemenangan perlumbaan dalam tempoh kurang dua tahun, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pasukan GT3 yang semakin mencipta nama di pentas perlumbaan ketahanan antarabangsa.
Suzuka 1000KM 2026 yang kini memasuki edisi ke-50 dijadual berlangsung dari 11 hingga 13 September sebagai pusingan keempat Intercontinental GT Challenge, melibatkan 33 jentera spesifikasi GTA-GT300.
#JohorSafeZone
#SukanMDJ
#JohorMotorsportsRacing
#Suzuka1000km
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


