JOHOR, PETRA SELARAS PROJEK STRATEGIK PACU PERTUMBUHAN NEGERI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan bersama YB Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di Putrajaya bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan pembangunan serta keperluan strategik negeri. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh penyelarasan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi memastikan pelaksanaan projek infrastruktur strategik berkaitan tebatan banjir, bekalan air serta elektrik bergerak seiring dengan pertumbuhan pesat negeri dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Dalam aspek mitigasi banjir, sebanyak 10 projek sedang dilaksanakan di seluruh Johor, manakala enam lagi kini berada pada peringkat pra-pelaksanaan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesiapsiagaan serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Beberapa projek tambahan turut dikemukakan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya pada tahun hadapan bagi memperluas langkah pencegahan serta mengurangkan risiko bencana berkenaan di negeri ini.
Jaminan bekalan air jangka panjang turut menjadi keutamaan Kerajaan Negeri apabila pelaksanaan projek Loji Rawatan Air (LRA) dan sumber berkaitan perlu dipercepatkan bagi memastikan keperluan rakyat, industri serta pembangunan dapat dipenuhi secara mampan.
Kesiapsiagaan bekalan elektrik pula diberi perhatian khususnya dari aspek kapasiti dan infrastruktur di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang perlu dirancang lebih awal bagi menyokong permintaan industri, komuniti serta perkembangan kawasan berkenaan.
Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan supaya setiap perancangan serta pelaksanaan infrastruktur dapat digerakkan secara berkesan sejajar dengan momentum pembangunan Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan bersama YB Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di Putrajaya bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan pembangunan serta keperluan strategik negeri.
#JohorSafeZone
#PETRA
#Infrastuktur
#TebatanBanjir
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



