JOHOR SAMBUT BAIK RANCANGAN PENDIDIKAN NEGARA 2026-2035

Kerajaan Johor menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan setiap perancangan pendidikan dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat nyata kepada rakyat khususnya anak-anak Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menyambut baik pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, semalam, sebagai langkah strategik memperkukuh sistem pendidikan negara.

 

Pengenalan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat mulai 2026 dan Tingkatan Tiga bermula 2027 bagi subjek teras membolehkan tahap penguasaan murid dikenal pasti lebih awal sekali gus membolehkan intervensi segera bagi memastikan tiada murid tercicir.

 

Pendekatan ini selari dengan komitmen Kerajaan Negeri melahirkan murid berdaya saing di peringkat global tanpa mengabaikan konteks tempatan melalui Pentaksiran Kompetensi Murid bertaraf antarabangsa yang akan dilaksanakan di Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

 

Kerajaan Johor turut menyokong sepenuhnya peruntukan RM100 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih bilik guru di seluruh negara termasuk Johor yang memberi nilai tambah kepada inisiatif sedia ada yang telah dilaksanakan sejak 2023 di negeri ini.

 

Penstrukturan semula Tingkatan Enam dan Matrikulasi mulai 2027 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi pula memastikan laluan prauniversiti lebih jelas dan tersusun seterusnya akan meningkatkan keyakinan pelajar dalam menentukan hala tuju akademik selepas tamat persekolahan.

 

Pemerkasaan Pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pendigitalan serta penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) di politeknik dan kolej komuniti sejajar dengan peranan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dalam melahirkan tenaga kerja mahir berpendapatan tinggi serta menyokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Kerajaan Johor menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan setiap perancangan pendidikan dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat nyata kepada rakyat khususnya anak-anak Johor.

 

#JohorEducationChampion
#SRBJ
#JTDC
#PendidikanBangsaJohor
#RancanganPendidikanNegara
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor