JOHOR TERIMA PERUNTUKAN RM116.22 JUTA KESUMA KUKUH PEMBANGUNAN BAKAT

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan bersama YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia dan YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia bagi membincangkan penyelarasan agenda pembangunan sumber manusia melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC). | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan bakat negeri menerusi peruntukan berjumlah RM116.22 juta bagi memperkukuh kebolehpasaran tenaga kerja serta ekosistem pekerjaan.
Peruntukan tersebut merangkumi pembiayaan latihan dan pembangunan kemahiran yang dirangka secara bersasar bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan, berkemahiran tinggi serta bersedia memenuhi keperluan industri semasa.
Usaha berkenaan turut disifatkan selari dengan lonjakan pelaburan strategik di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menuntut penyediaan tenaga kerja mencukupi dan kompeten bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi negeri.
Keseluruhan inisiatif ini disasarkan kepada bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor yang menjadi teras kepada pembangunan ekosistem industri JS-SEZ.
Pendekatan bersepadu ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan ekonomi negeri bergerak seiring dengan penciptaan peluang pekerjaan yang stabil, berpendapatan tinggi dan mampan untuk Bangsa Johor.
Antara peruntukan utama yang dibincangkan termasuk Dana Khas HRD Corp berjumlah RM20 juta bagi menyokong pelaksanaan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), RM13.02 juta levi HRD Corp untuk latihan teknikal serta RM18.8 juta Skim Latihan Industri bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.
Peruntukan tersebut juga merangkumi RM1.4 juta melalui TalentCorp bagi pelaksanaan Program MyMahir, RM2 juta oleh PERKESO untuk penganjuran pameran kerjaya serta pengukuhan portal MyFutureJobs, selain RM61 juta pembiayaan pinjaman oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kepada lebih 2,300 pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, telah mengadakan perbincangan bersama YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia dan YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang turut memfokuskan penyelarasan agenda pembangunan sumber manusia melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
#JohorSafeZone
#KESUMA
#JohorHomeOfChampions
#JTDC
#OrangMudaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


